Indikator baharu peralihan fasa beri gambaran palsu, kata PSM

Indikator baharu peralihan fasa beri gambaran palsu, kata PSM

Setiausaha Agung PSM A Sivarajan berkata ia juga akan memudaratkan lagi keadaan negara ketika masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

PSM memberi amaran bahawa pesakit Covid-19 Kategori 1 dan 2 boleh beralih kepada Kategori 3, 4 dan 5 dalam tempoh 10 hari dan perkara itu tidak boleh diramal.
PETALING JAYA:
Keputusan kerajaan melonggarkan syarat perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk peralihan ke fasa berikutnya bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) berdasarkan data kes Covid-19 Kategori 3, 4 dan 5 adalah satu tindakan ke belakang, kata Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Setiausaha Agungnya, A Sivarajan, berkata ia juga akan memudaratkan lagi keadaan negara ketika masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

Menurutnya, indikator baharu mengikut bilangan kes Kategori 3, 4, dan 5 berbanding jumlah jangkitan harian dilihat memberikan gambaran palsu bahawa jangkitan tidak begitu serius.

Beliau memberi amaran bahawa pesakit Covid-19 Kategori 1 dan 2 boleh beralih kepada Kategori 3, 4 dan 5 dalam tempoh 10 hari dan perkara itu tidak boleh diramal.

“Justeru, dengan mengabaikan jumlah kes jangkitan dan hanya mengambil angka kes kategori 3,4 dan 5 adalah satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab

“Ia memberikan tanggapan palsu kepada rakyat bahawa jangkitan Covid-19 di daerah dan negeri mereka semakin pulih, jadi mereka boleh kembali kepada cara hidup seperti biasa,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Menteri Penyelaras PPN, Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata indikator baharu akan menggunakan kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital sebagai petunjuk di negeri-negeri untuk melakukan peralihan fasa.

Tengku Zafrul berkata, penilaian risiko untuk mempertimbangkan pembukaan semula ekonomi dan aktiviti sosial “akan menjadi lebih tepat sekiranya berdasarkan jumlah kes bergejala bagi Kategori 3, 4 dan 5”.

Sivarajan turut memberi amaran bahawa kelonggaran syarat secara tergesa-gesa tanpa asas saintifik daripada pakar kesihatan akan menggandakan jumlah jangkitan.

“Kini kita sudah pun mencecah kadar jangkitan lebih 20,000 kes dan kematian lebih 200 pesakit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.