Kelantan rayu MOSTI lulus sejuta dos vaksin sebelum musim tengkujuh

Kelantan rayu MOSTI lulus sejuta dos vaksin sebelum musim tengkujuh

Menteri Besar Ahmad Yakob khuatir penduduk Kelantan tidak dapat perlindungan sewajarnya pada musim tengkujuh jika sasaran 80% penduduk divaksinasi tidak tercapai.

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob merayu permohonan itu dapat disempurnakan bagi melindungi nyawa rakyat Kelantan.
KOTA BHARU:
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dirayu agar meluluskan permohonan bekalan vaksin sebanyak satu juta dos kepada Kelantan sebelum musim tengkujuh pada Oktober depan.

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata pihaknya khuatir penduduk negeri itu tidak akan dapat perlindungan sewajarnya daripada wabak Covid-19 pada musim tengkujuh nanti sekiranya sasaran sebanyak 80% penduduk divaksinasi tidak tercapai.

Katanya, setakat ini 28.1% rakyat Kelantan telah menerima suntikan vaksin dos pertama manakala 15.8% lagi lengkap dos kedua.

“Kami jangka capai sasaran sebanyak 40% penduduk divaksinasi menjelang akhir Ogos ini sekiranya bekalan vaksin dapat diperoleh mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Jadi kami merayu agar permohonan kerajaan negeri kepada MOSTI sebanyak satu juta bekalan vaksin dapat disempurnakan bagi melindungi nyawa rakyat Kelantan sebelum menjelang musim tengkujuh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir melancarkan Program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan 2021 di Kompleks Kota Darulnaim.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah, Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat dan Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan Azahar Ismail.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata pihaknya bersedia melakukan pemberian vaksin secara jumpa terus sekiranya bekalan dapat diperoleh mengikut permintaan.

“Jika bekalan vaksin diperoleh, dijangka sebanyak 33,000 suntikan dapat diberikan dalam tempoh sehari selain mengoptimumkan pengoperasian 27 pusat pemberian vaksin (PPV) yang ada di seluruh negeri ini.

“Kami akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengatur perkara ini (pemberian vaksin secara jumpa terus) jika ada bekalan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.