Marah anak ditampar, lelaki maut ditetak jiran

Marah anak ditampar, lelaki maut ditetak jiran

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa berusia 40-an ditetak dengan parang di kepala dan kaki oleh jirannya iaitu lelaki berusia 40-an.

Lokasi kejadian pergaduhan dua jiran hingga membabitkan kematian di Beruas, dekat Manjung, Perak semalam (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Gara-gara menyuarakan rasa tidak berpuas hati anak ditampar jiran, seorang lelaki maut ditetak di perkarangan sebuah rumah selepas perbincangan dengan jirannya berakhir dengan pergaduhan semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa berusia 40-an ditetak dengan parang di kepala dan kaki oleh jirannya iaitu lelaki berusia 40-an.

Ketua Polis Daerah Manjung Nor Omar Sappi berkata, kejadian dipercayai bermula dengan pergaduhan antara dua lelaki berkenaan yang tinggal berjiran.

Katanya, sebelum itu, suspek didakwa menampar anak mangsa menyebabkan lelaki berkenaan datang berbincang dengan suspek.

“Berlaku pertelingkahan antara mereka. Suspek kemudian menetak mangsa dengan parang di kepala dan kaki.

“Bagaimanapun, motif sebenar kejadian itu masih dalam siasatan lanjut. Parang yang digunakan dalam kejadian itu juga sudah ditemui,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Omar berkata, suspek ditahan di rumahnya pada hari sama untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, suspek turut direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.