
Beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) pimpinannya akan mengadakan rundingan dengan parti luar gabungan itu bagi memperoleh sokongan dalam meluluskan undi percaya terhadapnya di Dewan Rakyat yang dijadualkan bulan depan.
Katanya, usaha untuk kerjasama rentas kepartian sudah dibincang dalam Kabinetnya dan pimpinan parti dalam kerajaan PN.
“Saya telah merundingi rakan-rakan saya dalam Kabinet dan pimpinan parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional untuk membuat keputusan yang terbaik demi rakyat dan negara. Bukan untuk kepentingan peribadi saya dan rakan-rakan yang lain.
“Kami telah mencapai satu kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar Perikatan Nasional untuk meluluskan usul undi percaya kepada perdana menteri di Dewan Rakyat.
“Ini akan membolehkan kerajaan yang ada pada hari ini terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba suatu masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat.
“Usul undi percaya ini hanya boleh diluluskan dengan sokongan ‘bipartisan’ di Dewan Rakyat,” katanya menerusi ucapan khas Perdana Menteri Bersama Memulihkan Negara.
Katanya, tujuan kerjasama rentas parti itu bagi memastikan kerajaan yang lebih stabil dan inklusif dalam mendepani penularan Covid-19 serta memulihkan kembali negara.
Muhyiddin turut membentangkan tujuh cadangan bagi merangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan sekiranya usul undi percaya diluluskan.
Pertama, mengambil kira peruntukan RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen dan Dewan Negara tanpa mengira parti politik sebelum ini bagi tujuan pembelian bakul makanan untuk diagih kepada rakyat yang memerlukan. Katanya, jika semangat rentas parti dicapai kerajaan bersetuju memberi peruntukan tahunan sama rata kepada semua wakil rakyat.
Berhubung cadangan kedua, katanya, menteri kewangan telah mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk pimpinan pembangkang untuk mendapatkan maklum balas dan cadangan bagi menambah baik Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ini termasuk menambah siling dana Covid-19 daripada RM65 bilion seperti diluluskan Parlimen tahun lalu, kepada RM110 bilion.
Bagi cadangan ketiga, katanya, jika kerajaan berjaya mencapai kata sepakat kerjasama rentas parti melebihi dua pertiga, suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri selama dua penggal sahaja dan Rang Undang- Undang Antilompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.
“Keempat, kerajaan juga akan memperkukuhkan reformasi Parlimen dengan memastikan jumlah Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.
“Kelima, kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Undi18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa. Untuk itu, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen. Saya berharap, dengan adanya kerjasama ‘bipartisan’ di Parlimen, rang undang-undang ini akan dapat diluluskan,” katanya.
Selain itu, katanya bagi cadangan keenam, rang undang-undang termasuk perbekalan yang akan dibentangkan di Parlimen akan dirundingi terlebih dahulu dengan semua Ahli Parlimen sebelum dibawa ke Parlimen.
“Akhirnya yang ketujuh, sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan hampir seimbang di Dewan Rakyat, ketua pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri kanan,” katanya.
Muhyiddin berkata, beliau tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa dan berjanji mengembalikan mandat rakyat selewat-lewatnya Julai tahun depan untuk Parlimen dibubarkan.
“Justeru, bergantung kepada situasi pandemik, saya membuat aku janji bahawa pilihan raya umum ke-15 akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung Julai tahun hadapan,” katanya.
Katanya, beliau menjemput semua pimpinan parti politik untuk membincangkan cadangan-cadangan berkenaan, minggu depan.
“Sekiranya cadangan kerjasama ‘bipartisan’ ini dipersetujui, saya akan memanggil Sidang Khas Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi percaya kepada perdana menteri dalam masa terdekat,” katanya.