Tawaran Muhyiddin makin berkecai, Pejuang turut tolak ‘rasuah’ PM

Tawaran Muhyiddin makin berkecai, Pejuang turut tolak ‘rasuah’ PM

Tawaran Muhyiddin diibaratkan rasuah jawatan demi mendapatkan sokongan yang hanya menguntungkannya.

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata parti itu akan terus kekal berprinsip dan dengan tegas menolak tawaran dibuat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengikut langkah parti pembangkang dan Umno dalam menolak tawaran Muhyiddin Yassin untuk memperolehi sokongan terhadap keabsahannya selaku Perdana Menteri.

Presidennya, Mukhriz Mahathir berkata tawaran Muhyiddin ibarat “rasuah jawatan” demi mendapatkan sokongan yang hanya menguntungkannya.

“Pejuang akan terus kekal berprinsip dan dengan tegas menolak tawaran dibuat oleh Muhyiddin,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Pakatan Harapan (PH) dan Umno turut menolak tawaran kerjasama rentas kepartian daripada Muhyiddin.

Turut menolak tawaran itu adalah Warisan, MUDA, Upko dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

Dalam sidang media hari ini, Muhyiddin menawarkan pelbagai insentif termasuk mengadakan pilihan raya umum selewat-lewatnya Julai depan, peruntukan sama rata untuk semua Ahli Parlimen serta melaksanakan beberapa pembaharuan demokrasi.

Tawaran itu dibuat Muhyiddin bagi memperolehi sokongan untuk memenangi undi percaya terhadapnya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan.

Mukhriz berkata Muhyiddin tidak berhak membuat tawaran seperti itu walaupun mempunyai keabsahan sebagai Perdana Menteri.

Katanya, Muhyiddin sepatutnya menghormati Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan dan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Sudah terang lagi bersuluh, ini usaha terdesak Muhyiddin bagi mengekal kuasa dengan cara yang cukup tidak bermaruah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.