Tiada kluster himpunan #Lawan setakat ini, kata Hisham

Tiada kluster himpunan #Lawan setakat ini, kata Hisham

Ia susulan satu status yang dimuat naik seorang daripada individu ke lokasi himpunan #Lawan bulan lalu memaklumkan beliau dijangkiti virus itu.

PUTRAJAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) belum mendapat laporan kluster baharu Covid-19 dikesan daripada himpunan #Lawan berhampiran Dataran Merdeka pada 31 Julai lalu.

“Satu status dimuat naik menyatakan salah seorang daripada mereka yang pergi ke tapak (himpunan) #Lawan dijangkiti (Covid-19).

“Tetapi KKM tidak dapat mengesahkan berita tersebut. Tidak dapat pastikan kesahihan.

“Setakat ini, tiada laporan berkaitan kluster demonstrasi tersebut,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media.

Beliau menjawab dakwaan pengguna media sosial yang ada ahli keluarga mereka dijangkiti Covid-19 selepas menyertai himpunan #Lawan.

Pada 31 Julai lalu, kira-kira 1,000 belia menyertai himpunan #Lawan berhampiran Dataran Merdeka anjuran Sekretariat Solidariti Rakyat bagi membantah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Dalam perkembangan lain, Hisham berkata, tiada varian lambda (C.37) Covid-19 dikesan di Malaysia setakat ini.

Beliau berkata, amat penting memperketatkan kawalan sempadan agar varian itu tidak merebak ke negara ini.

Setakat ini, katanya, vaksin yang diguna kerajaan masih berkesan melawan varian Delta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.