Wanita tak pakai pelitup muka bergaduh dengan pengawal keselamatan

Wanita tak pakai pelitup muka bergaduh dengan pengawal keselamatan

Wanita itu 'naik darah' selepas tidak dibenarkan masuk ke pasar raya kerana enggan memakai pelitup muka.

Aksi ‘pukul-memukul’ yang tular di Facebook menerusi video berdurasi 1 minit 17 saat sebelum dileraikan pekerja pasar raya.
PETALING JAYA:
Hanya kerana enggan memakai pelitup muka, seorang wanita sanggup bergaduh dengan pengawal keselamatan dalam kejadian di sebuah pasar raya di Seksyen 36, Kampung Jawa, Shah Alam.

Wanita itu dipercayai tidak berpuas hati selepas pengawal keselamatan berkenaan tidak membenarkannya masuk ke pasar raya tanpa pelitup muka bagi tujuan pematuhan SOP.

Aksi “pukul-memukul” itu tular di Facebook menerusi video berdurasi 1 minit 17 saat di pekarangan pasar raya itu sebelum dileraikan pekerja pasar raya.

Berdasarkan komen dipercayai seorang pekerja di pasar raya itu yang dikenali sebagai Kecik FZ Gaming, memaklumkan wanita berkenaan dikatakan tidak mematuhi SOP kerana tidak memakai pelitup muka, selain tidak mengimbas aplikasi MySejahtera.

“Perempuan itu langgar pengawal keselamatan dengan troli dan mengamuk secara tiba-tiba lalu memukulnya kerana tidak boleh masuk (pasar raya).

“Memanglah salah sebab pengawal keselamatan itu pukul balik, tetapi dia cuma jalankan tugas memeriksa aplikasi Mysejahtera,” katanya menurut laporan Kosmo.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Baharudin Mat Taib berkata, setakat ini pihaknya belum menerima laporan mengenai kejadian.

“Pergaduhan dipercayai disebabkan salah faham kerana wanita itu tidak memakai pelitup muka dan cuba ditahan oleh pengawal keselamatan.

“Setakat ini Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam atau balai lain tidak terima sebarang laporan,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.