
Bekas perdana menteri berkata, jika pesakit Covid-19 tidak mampu membelinya, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menyediakan “oximeter” berkenaan secara percuma.
“Ini kerana pesakit Covid mungkin akan mengalami keadaan ‘happy hypoxia’ dan tidak menunjukkan sebarang gejala sukar bernafas walaupun tahap oksigen dalam badan rendah dan sekiranya gagal dikesan dan dirawat lebih awal, pesakit boleh meninggal dunia,” katanya di Facebook.
Najib juga mencadangkan ambulans lengkap dengan peralatan oksigen disediakan lebih banyak agar tempoh menunggu untuk mendapatkan bantuan kecemasan di hospital bagi mereka yang dikuarantin di rumah dapat dikurangkan.
Selain itu katanya, butang “SOS” dalam aplikasi MySejahtera ditambah baik bagi kegunaan mereka yang dikuarantin di rumah.
“Sesiapa yang tiba-tiba jatuh sakit boleh klik butang ini dan maklumat termasuk nama pesakit, kontak pesakit, lokasi pesakit termasuk lokasi mengikut GPS akan disalurkan terus kepada KKM untuk meminta bantuan termasuk menghantar ambulans atau bantuan kecemasan ke lokasi pesakit.
“Sebab adalah amat sukar bagi mereka yang sedang sesak nafas untuk membuat panggilan kecemasan ke hotline atau 999 dan memberi maklumat yang sudah pun sedia ada dalam aplikasi MySejahtera,” katanya.
Sementara itu, Najib turut mencadangkan kerajaan memberikan tempoh “amnesty” atau dasar tidak mengambil tindakan sementara selama tiga hingga enam bulan terhadap pekerja asing yang tampil mendapatkan rawatan.
“Kita perlu elak keadaan di mana bukan warganegara takut untuk melapor mereka sakit Covid-19 atau tidak mahu divaksin sebab bimbang mereka akan ditangkap.
“Naikkan juga saman termasuk hukuman penjara bagi majikan yang tidak melapor kes Covid-19 atau tidak berusaha untuk memberi vaksin kepada pekerja asing,” katanya yang menegaskan virus Covid-19 tidak akan berjaya dikawal sekiranya ia masih menular dalam kalangan komuniti warga asing.
Kes BID semakin meningkat kebelakangan ini dengan sekitar 90 hingga 100 nyawa terkorban di luar hospital setiap hari dengan angka terbaru 101 daripada 282 kematian direkodkan semalam adalah di luar hospital.
“Apapun kita tidak boleh biarkan lebih 100 penduduk Malaysia mati mengejut dalam rumah, di depan restoran, di tepi kereta, di depan bank dan di tepi jalan setiap hari,” katanya lagi.