Speaker minta kami namakan calon PM, kata Ahli Parlimen

Speaker minta kami namakan calon PM, kata Ahli Parlimen

Semua Ahli Parlimen diminta menyerahkan nama calon perdana menteri mereka menjelang 4 petang esok.

Menurut surat yang dikeluarkan Speaker Dewan Rakyat, Ahli Parlimen boleh menyerahkan nama calon perdana menteri mereka melalui faks, e-mel atau PDF di WhatsApp menjelang 4 petang esok.
PETALING JAYA:
Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun meminta semua Ahli Parlimen membuat akuan berkanun (SD) untuk mengisytiharkan sokongan mereka kepada calon perdana menteri, kata beberapa Ahli Parlimen.

Dua Ahli Parlimen pembangkang mengesahkan kepada FMT bahawa mereka menerima notis itu pagi tadi.

Dalam notis itu, semua Ahli Parlimen diminta menyerahkan SD mereka menjelang 4 petang esok.

Walaupun tiada format yang ditentukan untuk SD, Ahli Parlimen dimaklumkan ia perlu merangkumi perincian hanya seorang calon dengan perisytiharan sokongan Ahli Parlimen yang jelas dan tanpa syarat.

SD itu juga harus memasukkan tarikh, tandatangan Ahli Parlimen dan seorang saksi atau cap rasmi, jika saksi itu adalah peguam bela, peguam cara, pesuruhjaya sumpah atau notari awam.

SD itu perlu dihantar kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong, Kol (Bersara) Nazim Mohd Alim melalui faks, e-mel atau dalam bentuk PDF di WhatsApp.

Penyerahan secara fizikal tidak dibenarkan kerana Istana Negara masih dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara untuk mengelakkan penularan wabak Covid-19 di kawasan istana.

Ahli Parlimen turut diingatkan untuk menjaga kerahsiaan SD mereka sehingga Agong membuat keputusan.

FMT sudah menghubungi Azhar bagi mendapatkan pengesahan.

Semalam, Muhyiddin Yassin dan Kabinetnya menyerahkan surat peletakan jawatan mereka kepada Agong selepas hilang sokongan majoriti.

Muhyiddin akan menjadi perdana menteri “caretaker” sehingga penggantinya dilantik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.