
Dalam webinar dianjurkan bersama oleh IDEAS dan Bait Al-Amanah bertajuk “Transparency in Democracy,” Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Khaled Nordin dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada MUDA masing-masing menyokong pembaharuan diperkenalkan terhadap pendanaan parti sebagai cara untuk menghapuskan amalan penaungan politik di Malaysia.
Khaled berkata, kekurangan peraturan menyebabkan Malaysia menjadi “tempat pembiakan rasuah, kronisme dan konflik kepentingan” dalam politik, seterusnya sebarang pembaharuan mesti berasaskan ketelusan.
“Pendedahan secara telus mesti terpakai untuk semua parti politik, yang akan mewujudkan medan perlawanan adil serta mudah didekati.
“Pemegang jawatan tidak patut menyalahgunakan sistem untuk memenangi perlawanan akan datang, sebaliknya bekerja lebih keras untuk memastikan peraturan dan medan perlawanan adil pada masa depan.
“Malaysia memerlukan generasi baharu pemimpin politik dan kepelbagaian dalam tokoh politiknya, namun wujud penghadang bagi golongan ini memasuki arena berkenaan,” katanya dengan menambah politik wang menyukarkan penyertaan individu yang kurang berpengalaman dan sumber.
“Malaysia layak memiliki arena politik yang representatif, dan saya percaya demokrasi yang sihat dibina atas dasar keterangkuman untuk semua,” katanya.
Khaled berkata, pembaharuan itu mesti mendapat sokongan bipartisan, dengan pemimpin perlu membincangkan mekanisme tepat diperlukan bagi memastikan pendedahan melibatkan sumbangan serta perbelanjaan, selain pendanaan parti di peringkat negeri.
Syed Saddiq pula berkata, kekurangan pembaharuan dalam proses pendanaan parti telah melembapkan perubahan dasar, seterusnya menghalang kemajuan.
Ahli Parlimen Muar itu menjelaskan, politik wang semakin menjadi-jadi di Malaysia, tidak kira sama ada pada pilihan raya umum atau pemilihan parti.
“Anda memerlukan antara RM2 juta hingga RM5 juta sebelum boleh bertanding untuk kerusi Parlimen.
“Bagaimanapun, untuk bertanding bagi jawatan Presiden atau Timbalan Presiden sebuah parti yang lebih terkenal, anda memerlukan sekurang-kurangnya RM10 juta hingga RM20 juta,” katanya.
“Ketika pilihan raya umum atau negeri, orang mengharapkan pemberian. Ketika pemilihan parti, setiap bahagian akan bertanya berapa jumlah yang sanggup anda taja, berapa yang boleh diberikan setiap tahun atau bulan.”
Bekas menteri belia dan sukan itu berkata, akibatnya ahli politik akan mencari pembiayaan daripada pelbagai sumber termasuk yang tidak sah di sisi undang-undang kerana “jika tidak mengikut rentaknya, anda akan terus ketinggalan.”
Syed Saddiq turut mendakwa “Langkah Sheraton” yang mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari tahun lalu, membantutkan pembentangan satu akta berkaitan dengan pendanaan politik yang sepatutnya dibuat pada bulan berikutnya.