Hak asasi manusia perlu jadi teras utama pentadbiran Jemaah Menteri baharu, kata SUHAKAM

Hak asasi manusia perlu jadi teras utama pentadbiran Jemaah Menteri baharu, kata SUHAKAM

Kerajaan yang bakal memerintah perlu menunjukkan komitmen untuk menghormati maruah manusia dan kebebasan asasi.

SUHAKAM berkata, pihaknya komited untuk terus bekerjasama dengan kementerian dan Ahli Parlimen dengan mengemukakan syor, selari dengan mandat yang diberikan di bawah peruntukan undang-undang.
PETALING JAYA:
Perdana menteri ke-9 dan Jemaah Menteri baharu perlu memberi penekanan terhadap pembaharuan institusi dan amalan tadbir urus yang baik dengan meletakkan hak asasi manusia sebagai teras utama dalam melaksanakan tanggungjawabnya, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

Institusi itu menegaskan hak asasi manusia tidak seharusnya menjadi agenda sampingan dan kerajaan yang bakal memerintah perlu menunjukkan komitmen untuk menghormati maruah manusia dan kebebasan asasi seperti mana yang dinyatakan di bawah Perkara 5-13 Perlembagaan Persekutuan.

“Meskipun jelas bahawa perdana menteri dan Jemaah Menteri baharunya perlu memberi tumpuan kepada usaha menangani pandemik dan kesan buruknya terhadap ekonomi dan kesejahteraan rakyat, hak asasi manusia perlu menjadi teras utama.

“Kerajaan seperti ini akan melaksanakan strategi tersusun untuk seboleh mungkin mempromosi, melindungi dan menyokong pendekatan hak asasi manusia,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai institusi hak asasi manusia kebangsaan SUHAKAM berkata, pihaknya komited untuk terus bekerjasama dengan kementerian dan Ahli Parlimen dengan mengemukakan syor, selari dengan mandat yang diberikan di bawah peruntukan undang-undangnya untuk menasihati kerajaan dalam isu hak asasi manusia.

Perkara 5-13 Perlembagaan Persekutuan berfungsi sebagai pemacu ke arah mencapai sasaran matlamat pembangunan lestari Malaysia dan seterusnya memulihkan harapan rakyat serta menyuburkan amalan demokrasi.

Satu pertemuan khas akan berlangsung membabitkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dengan Raja-raja Melayu pada Jumaat ini bagi membincangkan isu calon perdana menteri.

Kerajaan Perikatan Nasional terbubar berikutan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri pada Isnin lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.