Sindiket seludup migran di Johor tumpas, kata KP Imigresen

Sindiket seludup migran di Johor tumpas, kata KP Imigresen

Dua tekong berjaya ditahan melibatkan seorang bekas penjawat awam lelaki berusia 33 tahun dan seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 35 tahun.

Khairul Dzaimee Daud berkata semua 18 orang migran yang ditangkap termasuk dua tekong kini ditahan reman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Satu sindiket penyeludupan migran di Johor berjaya dilumpuhkan Jabatan Imigresen dalam satu operasi khas “Ops Seludup” yang dijalankan di kawasan Tanjung Sedili, Kota Tinggi di Johor, kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam operasi berkenaan dua tekong berjaya ditahan melibatkan seorang bekas penjawat awam lelaki berusia 33 tahun dan seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 35 tahun.

Katanya, seramai 18 orang migran warganegara Indonesia yang diseludup masuk turut ditahan.

“Ketika operasi dijalankan migran berkenaan sedang diangkut dengan menggunakan tiga buah kenderaan yang masing-masing dipandu oleh kedua-dua orang tekong tersebut dan seorang lagi pemandu berjaya melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Khairul berkata, modus operandi sindiket ialah menjalin kerjasama dengan tekong laut yang menyeludup migran dari negara jiran dan mendarat di pantai sekitar Johor.

“Tekong darat akan menyediakan pengangkutan untuk mengangkut migran-migran berkenaan sebelum diagihkan kepada majikan. Caj yang dikenakan oleh sindiket kepada migran untuk diseludup masuk ke Malaysia adalah antara RM800 hingga RM1,500 seorang,” tambah beliau.

Kata beliau, selain tangkapan tekong dan migran, ketiga-tiga kenderaan yang digunakan telah disita dengan nilai anggaran berjumlah RM130,000 dan pihaknya percaya sindiket ini dipercayai bergerak aktif sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 2020.

Tambahnya, semua 18 orang migran yang ditangkap ini akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa pas yang sah.

“Manakala kedua-dua tekong tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 bagi kesalahan menyeludup migran.

“Mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun, dan boleh juga dikenakan denda, atau kedua-duanya. Semua mereka sedang ditahan reman,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.