Ismail dijadual adakan lawatan kerja rasmi pertama ke kawasan terjejas banjir di Kedah

Ismail dijadual adakan lawatan kerja rasmi pertama ke kawasan terjejas banjir di Kedah

Perdana menteri kesembilan itu, melawat daerah Kuala Muda dan Yan bagi meninjau keadaan kawasan terjejas banjir susulan fenomena kepala air dari Gunung Jerai Rabu lepas.

Banjir ekoran fenomena kepala air dari Gunung Jerai, pada petang 18 Ogos menjejaskan kira-kira 800 rumah di Yan dan 200 di daerah Kuala Muda. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Ismail Sabri Yaakob yang baru mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri Sabtu lepas, dijadual mengadakan lawatan kerja rasmi pertamanya ke daerah Kuala Muda dan Yan, Kedah, hari ini.

Perdana menteri kesembilan itu, melawat dua daerah berkenaan bagi meninjau keadaan kawasan terjejas banjir susulan fenomena kepala air dari Gunung Jerai yang berlaku pada Rabu lepas.

Dalam kejadian banjir ekoran fenomena kepala air dari Gunung Jerai itu, lima mangsa disahkan terkorban dengan seorang lagi masih hilang, yang turut menjejaskan kira-kira 800 rumah di Yan dan 200 di daerah Kuala Muda.

Menurut atur cara dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat, kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, Ismail dijadual berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor menaiki pesawat khas pada 10 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, 45 minit kemudian.

Beliau kemudian akan ke Merbok di daerah Kuala Muda bagi melawat kawasan terjejas banjir di situ, iaitu Jambatan Tupah dan Taman Lembah Merbok sebelum meninjau keadaan Loji Rawatan Air Tupah yang turut terkesan.

Ismail kemudian akan ke Titi Hayun di Yan dan akan diberikan taklimat oleh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengenai perkembangan semasa susulan kejadian banjir itu selain meninjau kawasan terjejas.

Beliau seterusnya dijadual ke majlis penyampaian sumbangan yang diadakan di Masjid Jame’ Badlishah, Pekan Yan dan dijangka mengadakan sidang media di lokasi tersebut.

Terdahulu, Ismail memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra, Putrajaya. Ketibaan beliau di blok utama Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri pada jam kira-kira 8.25 pagi disambut Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) Jamil Rakon.

Beliau yang mengenakan sut serba hitam dan kelihatan bersemangat kemudian mengimbas kad perakam waktu di pejabatnya di Aras 5 bangunan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.