Pesakit Covid-19 tumbuk jururawat dalam cubaan melarikan diri

Pesakit Covid-19 tumbuk jururawat dalam cubaan melarikan diri

Pesakit menuju ke tepi tingkap di Tingkat 5 Hospital Sungai Buloh lalu terjatuh ke aras bawah hospital terbabit.

Tangkap layar video pesakit Covid-19 yang cuba melarikan diri dari Hospital Sungai Buloh petang semalam (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pesakit Covid-19 menumbuk muka dan bertindak mengejar jururawat dalam usahanya melarikan diri dengan terjun melalui tingkap, dalam kejadian di Tingkat 5 Hospital Sungai Buloh, semalam.

Dalam kejadian pada jam 3.20 petang itu, pesakit lelaki berusia 33 tahun itu dimasukkan ke hospital pada jam 3 pagi, dalam keadaan murung, tetapi agresif.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Shafa’aton Abu Bakar, berkata pesakit itu turut bergelut dengan kakitangan dan jururawat semasa dia cuba keluar dari wad berkenaan.

“Semasa dalam wad, pesakit menumbuk muka dan mengejar jururawat yang menghalang dia dari keluar serta mengganggu pesakit lain.

“Pesakit pergi ke tepi tingkap di wad berkenaan dan cuba terjun. Kejadian disedari oleh jururawat, sebelum cubaan menyelamat dilakukan. Pesakit terjatuh ke aras bawah hospital,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke unit rawatan rapi (ICU), selepas cedera pada muka dan badan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.