Kontraktor utama tak memuaskan punca projek WCE lewat, kata Exco

Kontraktor utama tak memuaskan punca projek WCE lewat, kata Exco

Mohd Zolkafly Harun berkata kerajaan Perak telah diberi taklimat mengenai isu itu dan Lembaga Lebuhraya Malaysia memberi komitmen untuk menyiapkan baki kerja projek.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Mohd Zolkafly Harun berkata, walaupun kerja pembinaan WCE dibenar untuk diteruskan, tetapi terdapat kekangan besar terhadap bekalan bahan binaan berikutan PKP dan PKPD. (Gambar Bernama)
IPOH:
Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dimaklumkan bahawa prestasi kontraktor utama yang tidak memuaskan menjadi antara punca pembinaan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang bermula dari persimpangan Beruas hingga Taiping Selatan mengalami kelewatan berbanding jadual asal.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Mohd Zolkafly Harun berkata, bagi menangani isu itu, syarikat konsesi, iaitu West Coast Expressway Sdn Bhd melalui kontraktor kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan (kontraktor EPC) telah mengambil alih kerja pembinaan di Seksyen 11 kawasan DUN Trong bagi menyiapkan baki kerja pembinaan.

“Kerajaan negeri juga telah diberi taklimat berkenaan isu ini dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memberi komitmen untuk menyiapkan baki kerja projek, iaitu 48% lagi mengikut garis masa baharu yang dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2024,” katanya ketika menjawab soalan Jamilah Zakaria (BN-Trong) pada persidangan DUN Perak ke-14.

Jamilah dalam soalan lisannya ingin tahu status pembinaan WCE tersebut dan jelas Mohd Zolkafly, kekangan terhadap bekalan bahan binaan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) juga antara faktor kelewatan.

“Kerja pembinaan yang sedang dijalankan di kawasan itu adalah kerja tanah, letupan batu, pembinaan struktur dan jambatan, perparitan, cerun dan lain-lain. Walaupun kerja-kerja pembinaan dibenar untuk diteruskan, tetapi terdapat kekangan besar terhadap bekalan bahan binaan berikutan PKP dan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD),” katanya.

Mohd Zolkafly berkata, peratusan kemajuan kerja pembinaan di Seksyen 11 sepanjang 35.5 kilometer bagi tempoh berakhir 25 Julai lepas baru mencapai 51.55% berbanding jadual sepatutnya, iaitu 99.30%.

Menyentuh mengenai perancangan pembangunan pekan kecil di sepanjang jajaran WCE beliau berkata, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sedang meneliti dan merangka perancangan yang strategik di tiga lokasi, iaitu Setiawan, Teluk Intan dan Hutan Melintang yang dijangka bakal mendapat limpahan ekonomi.

“Pelbagai aktiviti ekonomi baharu seperti pembuatan produk berasaskan pertanian, industri pembuatan dan pemprosesan makanan dan minuman. Malah industri minyak dan gas mampu dikembangkan sekali gus akan memacu pewujudan pekan kecil di jajaran ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, selain sektor perindustrian, kerajaan negeri menjangkakan perniagaan berasaskan tambah nilai juga dapat berkembang dengan adanya akses kemudahan logistik dan jalur lebar seperti “E-Commerce Fulfillment Center”.

“Model perniagaan seperti ini akan membuka pasaran lebih besar kepada peniaga desa untuk mengedarkan hasil jualan mereka melalui perniagaan dalam talian. Usaha ini juga merangkumi aktiviti tambah nilai lain seperti pembungkusan, penyimpanan dan pengedaran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.