
Wakil rakyat daripada PKR itu membangkitkan perkara berkenaan susulan terdapat tuduhan daripada pemimpin parti tertentu yang memburukkan DAP dengan mengajak rakyat menolak parti itu kerana didakwa mengancam orang Melayu-Islam.
“Saya kesian dengan DAP, semua kesalahan yang buruk, yang tak baik dituduh kepada DAP oleh pejuang-pejuang Melayu dan pejuang-pejuang Islam.
“Saya bukan balaci DAP tapi saya berkawan baik dengan Speaker, jiran saya ADUN Subang Jaya, ADUN Kampung Tunku, ADUN Dusun Tua dan sebagainya. Di Dewan ini saya nak beritahu kepada seluruh rakyat bahawa DAP bukan ancaman kepada Melayu-Islam.
“Walaupun saya bukan tuan guru, saya berani kata, tidak jadi kafir kerjasama dengan DAP,” katanya ketika membahaskan titah ucapan Sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Terdahulu, Ahmad Mustain meminta semua pihak berhenti berpolitik. Katanya, perbezaan politik hanya perlu ketika musim pilihan raya, bukannya setiap masa termasuk dalam kalangan pemimpin parti kerajaan negeri.
Lai Weng Sang (DAP-Banting) kemudian bangkit mencelah meminta Ahmad Mustain menyatakan pihak mana yang dimasudkannya.
Ahmad Mustain tanpa berselindung menamakan Umno dan PAS.
Berang dengan tuduhan itu, Mohd Imran Tamrin (BN-Sungai Panjang) meminta Ahmad Mustain membetulkan dan menarik balik tuduhan tersebut yang dilihat berniat jahat serta memburukkan parti.
“Sangkaan jahat, mana boleh kata macam itu, patut-patut la. Umno dan PAS tidak boleh dituduh begitu. Parti tidak terlibat, ia patut dituju kepada pemimpin yang tidak bertanggungjawab, tak boleh terus label kepada parti.
“Parti sesiapapun (sama ada) Umno, PAS, DAP, Amanah tak ada salah. Yang salah pemimpin yang tak bertanggungjawab, jangan salahkan parti,” katanya.
Isnin lalu, Sultan Selangor berdukacita melihat pergolakan politik nasional mutakhir ini dengan mengatakan perebutan kuasa dan kedudukan menyebabkan pertelagahan dan ketidaktentuan yang begitu ketara.
Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan ADUN Selangor agar “jangan terlalu banyak berpolitik” sehingga lupa untuk membela nasib rakyat.