
Beliau yang juga menteri kerajaan tempatan dan perumahan berkata, selain itu, sebanyak 200 lagi kes baharu dicatatkan membabitkan kanak-kanak berusia antara satu hingga lima tahun manakala 466 kes lagi membabitkan kanak-kanak dan remaja berusia antara enam hingga 17 tahun.
”Daripada 2,430 kes baharu hari ini juga, sebanyak 1,507 adalah membabitkan individu berusia antara 18 hingga 59 tahun, manakala 228 kes lagi membabitkan individu berusia 60 tahun ke atas,” katanya dalam kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Sabah.
Masidi berkata, saringan kontak rapat terus menjadi penyumbang utama kepada jumlah kes baharu di negeri berkenaan iaitu sebanyak 1,362 kes atau 56% daripada jumlah keseluruhan kes adalah daripada saringan kontak rapat.
Katanya, sebanyak 734 kes atau 30.2% lagi adalah daripada saringan bergejala manakala 156 kes atau 6.4% adalah daripada saringan kluster.
“Daripada jumlah keseluruhan kes baharu hari ini juga, sebanyak 1,732 kes adalah dalam kategori dua, 652 kategori satu, 24 kes kategori tiga, lima kes kategori 4 dan 13 lagi dalam kategori lima, manakala empat kes masih dalam siasatan,” katanya.
Terdahulu, Masidi berkata, sebanyak 38 lagi kes kematian akibat Covid-19 dicatatkan di Sabah di Sandakan dan Keningau masing-masing tujuh kes, Kota Kinabalu (6 kes), Penampang dan Tawau (4 kes), manakala Semporna, Pitas, Papar, Kudat, Kalabakan, Beaufort, Kuala Penyu, Tuaran, Kota Belud dan Lahad Datu masing-masing mencatatkan satu kes.