Azhar nafi tolak usul tukar speaker Dewan Rakyat

Azhar nafi tolak usul tukar speaker Dewan Rakyat

Yang Dipertua Dewan Rakyat itu berkata, sebarang keputusan mengenai usul terbabit diserahkan kepada timbalannya, Rashid Hasnon untuk putuskan.

Azhar Azizan Harun menyifatkan laporan sebuah akhbar mendakwa beliau menolak usul menukar speaker Dewan Rakyat sebagai fitnah dan pembohongan yang berniat menjatuhkan reputasinya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun menafikan beliau menolak usul daripada Ahli Parlimen supaya beliau mengosongkan jawatan itu.

Katanya, beliau sudah menerima usul itu dan supaya individu lain dilantik ke jawatan berkenaan.

Akan tetapi, Azhar berkata, beliau tidak pernah campur tangan atau terbabit dalam membuat sebarang keputusan berhubung usul itu.

“Sebaik sahaja pejabat saya menerima usul-usul tersebut, saya telah utuskan surat kepada semua pengusul bahawa saya tidak akan sama sekali membuat apa-apa keputusan mengenai semua usul tersebut kerana saya mempunyai percanggahan kepentingan.

“Apa-apa keputusan mengenai usul tersebut diserahkan kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Rashid Hasnon,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Merujuk satu laporan yang mendakwa beliau menolak usul itu, Azhar berkata, laporan itu tidak benar dan mempunyai unsur “innuedo” (menyindir).

“Saya anggap (ia) bersifat pembohongan dan fitnah, dan dibuat dengan niat untuk menjatuhkan reputasi saya.

“Saya akan mendapatkan nasihat undang-undang mengenai perkara ini dalam masa terdekat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.