
Presiden Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) Uzaidi Udanis berkata, mereka sedang melakukan persediaan akhir untuk menerima semula kedatangan pelancong pada pertengahan bulan ini.
“Semuanya telah disiapkan namun terdapat beberapa persiapan terakhir perlu dilakukan. Mereka perlu memperbaharui semula cukai jalan untuk kereta sewa. Kerja landskap juga perlu dibuat pada chalet. Hanya penyelenggaraan kecil diperlukan bagi memastikan semuanya tersusun,” katanya yang menjelaskan bahawa Langkawi sunyi tanpa pelancong sejak Mac tahun lalu.
Katanya, badan pelancongan telah berusaha bagi memastikan lebih ramai pengusaha diberi latihan dan pentauliahan bagi pematuhan semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
“Kita tidak mahu mencetuskan sebarang kluster daripada kumpulan pelancong. Kita juga akan galakkan pelancong memberi maklum balas kepada pusat panggilan kami jika terdapat sebarang aduan berhubung pematuhan SOP.”
Katanya, pemain industri telah bersedia untuk menawarkan pelbagai produk pelancongan baharu kepada pelancong domestik yang mungkin mencari tarikan atau aktiviti yang boleh dilakukan secara berasingan berikutan pandemik Covid-19.
Sementara itu, Ketua Pegawai Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng berkata, inisiatif perintis itu adalah satu permulaan yang baik kerana walau apa pun industri perlu bangkit semula.
Bagaimanapun mengambil pengalaman daripada projek seumpama itu di Phuket, Thailand katanya, inisiatif itu tidak kalis jangkitan dan SOP juga tidak semestinya menjamin sifar kes penularan Covid-19.
“Perlu ada ambang peratusan kes Covid-19 daripada projek ini. Langkah luar jangka mesti disediakan terlebih awal untuk menangani situasi bagi mengurangkan risiko tempatan. Ini adalah satu-satunya cara untuk bergerak ke hadapan.”
Katanya, SOP dan mekanisme pelaksanaan juga perlu jelas.
“Kita tidak mampu untuk kembali ke belakang lagi, sebaliknya ia (SOP) boleh diperbaiki dan dipertingkatkan,” katanya.
Melihat sentimen semasa, beliau meminta pengusaha hotel supaya bersedia untuk melakukan peralihan secara perlahan pada peringkat permulaan projek terbabit.
Bagaimanapun inisiatif itu mungkin berupaya menghidupkan kembali industri yang sudah tidak lagi boleh bertahan dengan hanya bergantung kepada subsidi kerajaan, sekali gus memberi isyarat positif bahawa industri boleh dipulihkan.
Sementara itu, Mohd Yusin Mohd Yatim dari Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Kedah berkata, pemain industri di Langkawi bersedia untuk beroperasi semula dan kini menunggu SOP dikeluarkan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Katanya, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah mengadakan kursus untuk sektor pelancongan dan makanan serta minuman di Langkawi bagi memberi penekanan terhadap amalan SOP yang ketat.
“Kami mengalu-alukan pelancong domestik yang lengkap dos kedua selepas 14 hari menerima suntikan. Saya juga ingin mengingatkan semua ejen agar mematuhi SOP yang ketat dan pastikan semua transaksi dilakukan secara dalam talian.”
Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa jawatankuasa khas mengenai pengurusan pandemik telah membuat keputusan untuk memulakan program gelembung pelancongan di Langkawi pada 16 September ini kepada pelancong domestik yang lengkap dua dos vaksin.