Tak perlu amaran keselamatan selepas Taliban ambil alih Afghanistan, kata Bukit Aman

Tak perlu amaran keselamatan selepas Taliban ambil alih Afghanistan, kata Bukit Aman

Berbeza dengan laporan Nikkei, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Normah Ishak, berkata keadaan adalah terkawal.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Normah Ishak berkata, polis sedang menunggu Taliban mengesahkan jika dua individu antara enam militan ISIS yang ditahan merupakan warga Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Keadaan di Malaysia terkawal daripada ancaman keganasan dan tiada keperluan untuk mengeluarkan sebarang amaran keselamatan buat masa ini, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Normah Ishak.

Ini berbeza dengan dakwaan sebuah agensi berita antarabangsa, Nikkei Asia bahawa pengambilalihan kuasa oleh Taliban di Afghanistan menyebabkan Malaysia dan negara lain di rantau ini kini berwaspada terhadap potensi serangan keganasan.

Menjawab pertanyaan FMT mengenai laporan Nikkei pada 31 Ogos lalu, Normah berkata: “Tidak, berdasarkan pemantauan kami, keadaan di Malaysia terkawal. Saya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada Nikkei dan mereka tidak menghubungi saya.

“Walaupun kami sentiasa berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan, namun tiada keperluan untuk mengeluarkan amaran buat masa ini.”

Laporan Nikkei, yang tidak menamakan sebarang sumber, mendakwa pihak berkuasa Malaysia kini berwaspada terhadap risiko rakyatnya ke Afghanistan dan mungkin kembali ke tanah air untuk melancarkan serangan keganasan.

Selain Malaysia, laporan itu mendakwa badan penguatkuasaan undang-undang di negara Asia Tenggara lain turut berjaga-jaga terhadap kumpulan pengganas yang berpotensi bangkit susulan pengambilalihan kuasa olehTaliban dan satu serangan berani mati IS di lapangan terbang Kabul.

Ketika ditanya sama ada Taliban sudah mengesahkan dakwaan dua rakyat Malaysia adalah antara enam militan ISIS yang ditahan minggu lalu, Normah berkata, pihaknya belum menerima sebarang berita daripada mereka.

“Kami perlu menunggu Taliban mengeluarkan kenyataan lain untuk mengesahkan sama ada mereka adalah warganegara Malaysia atau tidak.”

Menurut laporan, dua rakyat Malaysia dipercayai bertempur bersama cabang ISIS Afghanistan yang dikenali sebagai IS Khorasan (IS-K), ditahan pihak berkuasa Taliban.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.