Kumpulan ibu bapa, kesatuan guru tetap sokong sekolah dibuka

Kumpulan ibu bapa, kesatuan guru tetap sokong sekolah dibuka

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) dan Kesatuan Guru Sarawak (STU) menyambut baik keputusan yang dibuat oleh kerajaan untuk membuka semula sesi persekolahan bulan depan

Menurut kumpulan ibu bapa pembukaan semula sekolah kali ini dilihat lebih selamat apabila semua populasi dewasa dijangka menerima dos vaksin menjelang akhir Oktober.
PETALING JAYA:
Walaupun berlaku peningkatan kes kematian akibat Covid-19 membabitkan kanak-kanak tahun ini, kumpulan ibu bapa dan kesatuan guru tetap menyokong pembukaan semula sekolah, bulan depan.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim berkata, ini adalah masanya untuk ibu bapa menentukan sama ada anak-anak mereka harus meneruskan sesi persekolahan dan mengambil tanggungjawab terhadap pendidikan mereka.

Azimah berkata ia bukanlah satu pilihan untuk pelajar tidak bersekolah dan semua ibu bapa bersetuju sesi persekolahan secara bersemuka boleh membantu dalam aspek pembangunan kanak-kanak selain mengulangi bahawa pembelajaran secara hibrid boleh menjadi kaedah terbaik.

Katanya, pembukaan semula sekolah kali ini dilihat lebih selamat apabila semua populasi dewasa dijangka menerima dos vaksin menjelang akhir Oktober.

“Sementara itu, ibu bapa harus mendidik anak mereka mengenai kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana jika tidak ia akan memberi kesan buruk. Orang dewasa perlu menunjukkan contoh yang baik juga,” katanya kepada FMT.

Azimah berkata semua remaja berusia 16 dan 17 tahun harus diberi keutamaan untuk diberi suntikan vaksin Covid-19.

Manakala Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Adam Prakash Abdullah turut menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan untuk menyambung semula sesi persekolahan secara berperingkat.

Katanya, ia akan memberi sedikit masa kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk menilai semula situasi dan membuat cadangan sama ada ia selamat untuk membuka sekolah atau sebaliknya.

Adam berkata ia juga akan memberi lebih masa lebih semua guru-guru untuk mendapatkan suntikan vaksin dan bersedia untuk kembali mengajar secara bersemuka.

“STU memahami bahawa peningkatan jangkitan varian Delta amat membimbangkan dan sebab itu ibu bapa enggan membenarkan anak-anak mereka kembali ke sekolah.

“Bagaimanapun, kita percaya Kementerian Pendidikan akan membuat keputusan terbaik untuk manfaat populasi terutama guru-guru dan anak-anak,” katanya.

Adam juga berkata sekiranya ibu bapa masih bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka di sekolah, mungkin kerajaan boleh membenarkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) meneruskan sesi persekolahan secara bersemuka terlebih dahulu bagi membolehkan mereka membuat persediaan menjelang peperiksaan.

Setakat 30 Ogos, Kementerian Kesihatan melaporkan 41 kematian akibat Covid-19 membabitkan mangsa di bawah umur 17 tahun berbanding enam kes pada tahun lalu.

Kementerian berkata dalam tempoh tahun ini, sebanyak 15 kematian dilaporkan membabitkan mangsa kanak-kanak berusia sehingga empat tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.