
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Masidi Manjun berkata, SOP yang disemak semula itu turut memberi kelonggaran kepada sekatan pergerakan rakyat di Sabah yang masih di bawah Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Katanya, individu lengkap divaksin kini dibenar menggunakan kolam renang awam, menyertai aktiviti rekreasi seperti snorkeling, berkayak, menunggang jet ski, “sea walking” dan selam skuba.
Tetapi, beliau berkata, mereka masih perlu mengamalkan penjarakan fizikal, sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter daripada orang lain.
“Selain itu, individu dari rumah sama dengan orang dewasa yang lengkap dua dos vaksin dibenarkan menaiki kereta sama berdasarkan kapasiti kenderaan,” katanya dalam kenyataan perkembangan harian Covid-19 di Sabah.
Hanya dua individu daripada isi rumah sama yang belum lengkap dua dos vaksin dibenarkan keluar membeli bekalan makanan, perubatan dan keperluan harian lain.
SOP terdahulu menyatakan semua pemilik restoran perlu memastikan hanya kakitangan lengkap divaksin dan pelanggan berstatus risiko rendah dalam aplikasi MySejahtera mereka dibenarkan memasuki premis.
Bagi pasar raya dan pasar raya besar, hanya pelanggan serta pekerja lengkap divaksin dibenarkan masuk ke premis terbabit.