Guru KAFA belum vaksin mungkin dilarang mengajar, kata menteri agama

Guru KAFA belum vaksin mungkin dilarang mengajar, kata menteri agama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, berkata Jakim mungkin mengambil pendekatan sama seperti Kementerian Pendidikan

Idris Ahmad berkata guru adalah orang paling dekat dengan murid dan mereka sepatutnya mengambil vaksin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mungkin mengambil pendekatan sama dengan Kementerian Pendidikan untuk melarang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang belum divaksin daripada mengajar secara bersemuka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, berkata ia akan dibincangkan oleh Bahagian Pendidikan Jakim namun menasihatkan guru terbabit segera mendapatkan suntikan vaksin.

“Apa yang takut sangat mengenai vaksin, setakat ini ramai yang mati akibat Covid-19 berbanding vaksin.

“Guru adalah orang paling dekat dengan murid dan saya berpendapat mereka sepatutnya mengambil vaksin,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Bantuan Musa’adah Banjir di Taiping.

Menteri Kanan Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin berkata guru yang enggan atau belum menerima suntikan vaksin Covid-19 tidak dibenarkan mengajar di kelas atau bersemuka dengan pelajar.

Keputusan itu dibuat bagi memastikan keselamatan pelajar, guru dan pengurusan sekolah ketika sesi persekolahan dibuka nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.