
Beliau berkata, tahap yang rendah itu menjejaskan keyakinan ibu bapa dan masyarakat, sekali gus menuntut tindakan segera kementerian serta pihak pengurusan sekolah.
“Kita tidak boleh biarkan hanya 28% sahaja berfungsi. Itu adalah tanggungjawab kita untuk selesaikan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat tahun baharu Kementerian Pendidikan (KPM).
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata KPM sedang menambah 300 unit CCTV di sekolah terpilih di seluruh negara, selain memastikan sistem penyelenggaraan dilaksanakan dengan lebih teratur.
Beliau juga mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua sekolah memastikan CCTV berfungsi.
“KPM ada penyelenggaraan dan kita akan pastikan ia terus berfungsi,” katanya.
Mengulas cadangan kerjasama kerajaan dan swasta bagi menampung kos meningkatkan sistem keselamatan, Fadhlina berkata inisiatif sedemikian sudah berjalan melalui penglibatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), swasta serta persatuan komuniti.
“Apa sahaja bentuk kerjasama, kita jangan terlalu rigid. Orang nak tolong, kita buka jalan dan kita sokong. Ini semua sekolah kita,” katanya.
Pada 15 Okt lalu, KPM berkata sebanyak 200 sekolah berasrama berisiko tinggi di seluruh negara termasuk yang merekodkan kejadian buli akan selesai dipasang CCTV menjelang bulan November lalu.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) KPM, Wan Hashim Wan Rahim, berkata projek itu yang dilaksanakan sejak Ogos lalu membabitkan peruntukan RM3 juta, bertujuan memperkukuh aspek keselamatan pelajar di kawasan sekolah dan asrama selain membendung insiden tidak diingini.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata cadangan memberikan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 sebelum sesi persekolahan bermula akan dilihat secara serius.
Beliau berkata, KPM akan memperbaikinya bermula tahun depan susulan sesi persekolahan tahun ini akan bermula minggu depan.
Fadhlina juga berkata, saranan supaya pelajar berpindah sekolah akan diwajibkan melampirkan laporan kesihatan termasuk tahap kesihatan mental serta rekod disiplin mulai sesi persekolahan 2026 adalah bagi membantu pelajar yang mempunyai masalah tersebut.
Katanya, melalui rekod itu sekolah boleh menyediakan sokongan bagi membantu pelajar mempunyai masalah kesihatan mental dan disiplin.
Bagaimanapun, beliau berkata jika ada ibu bapa yang tidak setuju, mereka boleh tampil memberi cadangan.