3 penjawat awam antara 17 ditahan terlibat sindiket ketum

3 penjawat awam antara 17 ditahan terlibat sindiket ketum

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata 13 lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang wanita Indonesia berusia antara 20 dan 56 tahun ditahan dalam tujuh serbuan.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, turut dirampas dalam serbuan termasuk peralatan memproses ketum, 542.73kg daun ketum serta 300.8l air ketum dengan jumlah keseluruhan bernilai RM8,435. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Tiga penjawat awam antara 17 individu ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam sindiket memproses dan menjual ketum dalam beberapa siri serbuan di lima daerah sejak 27 Ogos lepas.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam tujuh serbuan bermula 27 Ogos hingga Sabtu lepas di Kota Tinggi, Kulai, Iskandar Puteri, Johor Bahru dan Tangkak itu, 13 lelaki dan tiga wanita tempatan serta seorang wanita warga Indonesia, berusia antara 20 dan 56 tahun berjaya diberkas.

Turut dirampas dalam serbuan termasuk peralatan memproses ketum, 542.73kg daun ketum berserta 300.8l air ketum dengan jumlah keseluruhan bernilai RM8,435.

Beliau berkata, hasil saringan ujian urin mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine manakala tiga lagi mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan membawa bekalan ketum dari utara tanah air menggunakan lori yang diisytiharkan sebagai barang perlu bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Harga semasa daun ketum adalah RM30 hingga RM80 sekilogram yang boleh menghasilkan 10 hingga 15l air ketum yang dijual di pasaran tempatan dengan harga antara RM15 hingga RM20 seliter,” katanya pada sidang media.

Ayob Khan berkata, menerusi risikan dilakukan selama sebulan, tiga sindiket berkenaan dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun ini dengan menjadikan rumah dan gudang sebagai lokasi pemprosesan dan turut menjalankan jualan dalam talian untuk kegiatan tersebut.

Beliau berkata, semua individu terbabit direman tiga hingga tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.