7A dalam SPM sebagai syarat jadi guru pelatih akan bantu tingkatkan kualiti pendidik

7A dalam SPM sebagai syarat jadi guru pelatih akan bantu tingkatkan kualiti pendidik

Keputusan akademik bukanlah peramal terbaik bagi kualiti pengajaran, namun lebih banyak perlu dilakukan untuk meningkatkan latihan profesional pendidik di negara ini, kata Teach for Malaysia.

Pendidikan sepatutnya menjadi profesion pilihan, bukan sekadar pilihan akhir bagi calon yang mendapat keputusan akademik cemerlang, kata seorang aktivis.
GEORGE TOWN:
Syarat mendapat sekurang-kurangnya 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi guru pelatih dapat meningkatkan secara mendadak kualiti guru, kata sebuah kumpulan pendidikan.

Chen Li-Kai daripada Teach For Malaysia berkata, walaupun keputusan akademik bukanlah peramal terbaik bagi kualiti pengajaran, namun lebih banyak yang perlu dilakukan untuk meningkatkan latihan profesional pendidik di negara ini.

“Sebelum Pelan (Pembangunan Pendidikan Malaysia), dari segi peratusan guru yang memasuki institut latihan, 70% mendapat antara sifar hingga 3A dalam SPM.

“Ini bukan bermaksud keputusan akademik adalah peramal terbaik kualiti pengajaran.

“Namun bagi saya, salah satu perubahan besar adalah beralih kepada sekurang-kurangnya 70% daripada pengambilan guru mendapat sekurang-kurangnya 7A dalam SPM.

“Itu adalah satu langkah meningkatkan secara mendadak kualiti pengambilan guru,” katanya dalam forum G25 bertajuk “Reflections On The Malaysia Education Blueprint”.

Chen berkata, wujud keperluan untuk memperkembangkan tahap profesional dan cara untuk membimbing mereka dalam pedagogi (kaedah pengajaran), selain memastikan konsistensi dalam pengajaran. Perkara ini penting untuk difokuskan, tambahnya.

Kita perlu mengubah pendidikan menjadi kerjaya pilihan, bukan sekadar pilihan akhir, katanya.

Chen berkata, dengan sekurang-kurangnya 50% daripada sekitar 400,000 guru dan pembantu pengajar menggalas tanggungjawab mendidik untuk 20 tahun akan datang, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk membantu mereka memperbaiki kaedah penyampaian.

“Ini cabaran besar. Ini adalah penggalak terbesar kerana jika kita tidak memperbaiki pedagogi dan kualiti penyampaian dalam bilik darjah, tiada apa dapat dilakukan kementerian dari segi dasar.

“Paling penting adalah untuk memperbaiki kualiti pengajaran dan melabur dalam sistem pendidikan. Bukan juga tentang berapa banyak kita laburkan, tetapi bagaimana kita belanjakannya,” katanya.

Sementara itu, bekas menteri dan teknokrat, Idris Jala berkata, walaupun ada kekurangan, masih terdapat guru yang baik yang dihasilkan daripada institut latihan guru.

Katanya, kaedah pemikiran adalah perkara yang membezakan antara guru baik atau sebaliknya. Susulan itu, kerajaan perlu menemui guru-guru yang terbaik bagi menggunakan pendekatan mereka di tempat lain.

“Kita boleh mendapatkan guru yang terbaik dalam bidang geografi, sejarah dan matematik, sebagai contoh, dan temu bual mereka.

“Minta mereka dedahkan kaedah pengajaran dan selaraskannya. Ini kemudian boleh digunakan untuk kira-kira 400,000 guru yang lain.

“Dengan cara ini kita boleh mencapai peningkatan. Apa yang penting bukan kurikulum, tetapi bagaimana mata pelajaran diajar,” katanya.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, calon yang terpilih untuk institut latihan perguruan dinilai berdasarkan pelbagai faktor termasuk sikap, kebolehan mengajar dan perwatakan.

Calon mesti mempunyai sekurang-kurangnya tiga markah cemerlang dan tiga kredit dalam SPM untuk menjadi guru pelatih.

Kementerian Pendidikan kini berkata, keutamaan diberikan kepada calon yang memiliki minimum tujuh markah cemerlang, khususnya kerana pengambilan guru pelatih dengan pencapaian lebih baik pada 2012, sebelum pelan berkenaan dilaksanakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.