
Ia susulan seorang pekerjanya dilaporkan meninggal dunia akibat terjatuh dari satu platform tinggi semasa bekerja pada Ahad lepas.
Pejabat Pengarah JKKP Selangor dalam kenyataan memaklumkan, rentetan insiden itu, siasatan awal mendapati pekerja lelaki warga Myanmar itu pada mulanya ditugaskan oleh majikan untuk mengecat laluan besi platform di tingkat enam kilang berkenaan.
Katanya, lelaki terbabit yang tidak dibekalkan dengan peralatan perlindungan diri yang bersesuaian dipercayai tergelincir lalu jatuh dari platform yang tidak dihadang dari ketinggian 15 meter ke atas lantai kilang.
Berikutan itu, JKKP Selangor memaklumkan akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Akta Kilang dan Jentera 1967.
“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, melakukan penilaian risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, kemalangan berkenaan boleh dielakkan jika majikan melakukan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).
Dalam kejadian pada 10.30 pagi Ahad lepas, lelaki berusia 60 tahun itu mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.