RM3.9 juta bantu sektor perikanan Pahang terjejas pandemik

RM3.9 juta bantu sektor perikanan Pahang terjejas pandemik

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Abdullah Jaafar berkata jumlah itu adalah peningkatan sebanyak RM1.1 juta berbanding tahun lalu.

Jabatan Perikanan Pahang berkata, bantuan diberikan kepada kumpulan sasar yang terbabit dalam sektor perikanan bagi memastikan mereka kekal berdaya saing. (Gambar Facebook Jabatan Perikanan Pahang)
KUANTAN:
Jabatan Perikanan Pahang menyediakan peruntukan berjumlah RM3.9 juta bagi membantu sektor perikanan di negeri itu yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pengarahnya Abdullah Jaafar berkata, jumlah itu adalah peningkatan sebanyak RM1.1 juta berbanding tahun lalu dengan peruntukan RM2.8 juta bagi tujuan sama.

Katanya, bantuan diberikan kepada kumpulan sasar yang terbabit dalam sektor perikanan di Pahang bagi memastikan mereka kekal berdaya saing.

Beliau berkata, bantuan diberikan meliputi skop khidmat sokongan akuakultur dan biosekuriti, geran pemadanan kawasan zon industri akuakultur, pengembangan akuakultur, elaun sara hidup nelayan, bantuan input peralatan dan bantuan benih ikan.

“Selain itu, usaha membimbing usahawan dan golongan muda dalam bidang perikanan turut diperhebatkan dan ini termasuk menambah nilai pengeluaran melalui pemprosesan produk serta pembungkusan,” katanya dalam kenyataan.

Abdullah menjelaskan, pihaknya juga menyokong ternakan ikan khususnya patin dalam sangkar secara kluster yang memiliki potensi untuk menghasilkan pendapatan lumayan.

Katanya, jumlah pengeluaran ikan untuk makanan di Pahang bagi subsektor perikanan laut, akuakultur dan sungai tahun 2020 adalah sebanyak 117,317 metrik tan bernilai kira-kira RM940 juta.

“Walaupun Covid-19 bermula setahun lalu, namun pengeluaran ikan tangkapan, akuakultur dan perikanan sungai di Pahang berada dalam kedudukan lima negeri tertinggi di Semenanjung dan tertinggi di Pantai Timur,” katanya.

Katanya, bantuan secara berterusan perlu disalurkan bagi memastikan bekalan ikan sentiasa mencukupi untuk pasaran tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.