
Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata jika projek tebatan siap, ia dapat mengurangkan atau mengelak banjir berlaku di kawasan yang sebelum ini dinaiki air.
“Kita nak beri tumpuan kepada (projek) elak banjir daripada kita sedia peruntukan untuk membiayai (mangsa) banjir.
“Buat masa ini kerajaan persekutuan beri RM1,000 dan Selangor (RM500). Saya rasa ini angka yang besar dan kita terima kasih kepada kerajaan persekutuan,” katanya ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan dana kepada masjid dan surau di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Pada 2 Dis lalu, FMT melaporkan Adun Kota Kemuning mencadangkan bantuan tunai untuk mangsa terjejas teruk akibat banjir di Selangor dinaikkan kepada RM3,000 bagi membantu membaiki kerosakan harta-benda mereka.
S Preakas daripada Pakatan Harapan (PH) berkata, ramai penduduk mengeluh kerana kerugian ditanggung tidak setimpal dengan bantuan diterima.
Sebelum ini Amirudin memaklumkan bantuan RM500 disalurkan kepada 750 keluarga disahkan berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah terkesan iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat, Petaling dan Klang.
Sementara itu, Amirudin berkata bantuan diberikan sekurang-kurangnya dapat ‘mengubati’ masalah dihadapi mangsa banjir.
Beliau berkata, apa yang penting projek tebatan dirancang perlu dilaksanakan segera kerana ada belum siap misalnya di Sungai Langat Fasa 2.