Warga emas hilang susulan banjir Aceh selamat, sudah pulang ke Malaysia

Warga emas hilang susulan banjir Aceh selamat, sudah pulang ke Malaysia

Wisma Putra sahkan wanita Malaysia berusia 64 tahun itu berada dalam keadaan selamat, menurut makluman keluarganya.

Kementerian Luar terus pantau perkembangan keadaan susulan banjir besar dan tanah runtuh yang melanda Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara di Indonesia sejak 27 Nov. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Kementerian Luar (Wisma Putra) mengesahkan seorang warga emas rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan hilang susulan banjir besar di Aceh, berada dalam keadaan selamat dan telah pulang ke Malaysia semalam, menurut makluman keluarganya.

Wanita berusia 64 tahun itu sebelum ini dilaporkan tidak dapat dihubungi, bersama seorang lagi rakyat Malaysia, Asrul Nizam Apridwson, 30, yang turut dilaporkan hilang susulan kejadian tanah runtuh pada 27 Nov.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan Asrul Nizam susulan kejadian tanah runtuh di Padang Panjang, Indonesia kini masuk hari ke-15.

“Usaha pencarian masih diteruskan, dan Konsulat Jeneral terus memberikan bantuan konsul kepada keluarga, yang berada dalam hubungan rapat dengan pihak berkuasa Indonesia,” kata Wisma Putra dalam kenyataan mengenai perkembangan terkini banjir dan tanah runtuh di Sumatera hari ini, lapor Bernama.

Wisma Putra menambah, setakat ini tiada laporan baharu mengenai rakyat Malaysia yang hilang atau terjejas akibat situasi berkenaan.

Kementerian melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Medan terus memantau perkembangan keadaan susulan banjir besar dan tanah runtuh yang melanda Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara sejak 27 Nov.

“Pihak berkuasa Indonesia melaporkan bahawa akses ke beberapa kawasan yang sebelum ini terputus telah bertambah baik, membolehkan pasukan SAR sampai ke lebih banyak lokasi apabila kerja-kerja pembersihan jalan dijalankan,” katanya.

Menurut Wisma Putra, keadaan banjir di beberapa bahagian wilayah terjejas juga beransur pulih, dengan beberapa daerah memasuki fasa pemulihan awal.

Bagaimanapun, beberapa kawasan pedalaman, khususnya di Aceh Tamiang, Sumatera Barat dan wilayah Tapanuli, masih berdepan kekangan akses, bekalan keperluan asas dan pemulihan perkhidmatan penting.

Wisma Putra menasihati rakyat Malaysia di kawasan terjejas di Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh supaya berwaspada, memberi perhatian kepada perkembangan cuaca dan mematuhi arahan pihak berkuasa Indonesia.

Selain itu, mana-mana rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan atau tidak dapat menghubungi ahli keluarga di kawasan terjejas digalakkan segera menghubungi Konsulat Jeneral melalui talian penting 24 jam di +62 823 6164 6046 atau melalui e-mel di [email protected].

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.