Kapal karam di perairan Greece, 5 rakyat Malaysia diselamatkan

Kapal karam di perairan Greece, 5 rakyat Malaysia diselamatkan

Wisma Putra berkata Kedutaan Besar Malaysia di Bucharest sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Greece berkaitan dan menghulurkan bantuan konsular sewajarnya.

WISMA PUTRA
Wisma Putra berkata tiga rakyat Malaysia telah dilepaskan pihak berkuasa Greece, tetapi dua masih ditahan bagi membantu siasatan atas dakwaan pelanggaran undang-undang alam sekitar.
KUALA LUMPUR:
Lima rakyat Malaysia diselamatkan pengawal pantai Greece selepas kapal yang membawa mereka karam di perairan Kastellorizo, Greece, Selasa lalu.

Kementerian Luar memaklumkan berdasarkan laporan awal, kapal berkenaan mengalami kerosakan teknikal dan sistem navigasi semasa pelayaran menyebabkan ia melanggar terumbu karang sebelum tenggelam berhampiran perairan berkenaan.

“Susulan itu, tiga daripada rakyat Malaysia terbabit dilepaskan pihak berkuasa Greece selepas melengkapkan proses dokumentasi dan imigresen.

“Bagaimanapun, dua lagi rakyat Malaysia kini ditahan pihak berkuasa tempatan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pelanggaran undang-undang alam sekitar, khususnya berkaitan kerosakan terhadap ekosistem marin akibat pelanggaran terumbu karang,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian Luar yang juga dikenali Wisma Putra berkata, ia akan terus memantau perkembangan kes itu dan menyalurkan maklumat terkini mengikut keperluan.

“Kedutaan Besar Malaysia di Bucharest sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Greece berkaitan dan sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya bagi memastikan keselamatan, kebajikan serta hak mereka sentiasa terpelihara sepanjang proses perundangan berjalan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.