Tak semua sekolah dibuka 3 Okt, berperingkat ikut fasa, jelas menteri

Tak semua sekolah dibuka 3 Okt, berperingkat ikut fasa, jelas menteri

Radzi Jidin berkata, berdasarkan pemantauan KPM masih ada yang menganggap semua sekolah di seluruh negara akan dibuka pada 3 Okt ini.

Radzi Jidin berkata, jika sesebuah negeri berada dalam Fasa 1 PPN maka tidak ada sekolah yang dibuka di negeri terbabit pada 3 Okt nanti.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan pembukaan sekolah di seluruh negara pada 3 Okt nanti adalah secara berperingkat mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin berkata, berdasarkan pemantauan KPM masih ada yang menganggap semua sekolah di seluruh negara akan dibuka pada 3 Okt ini, meskipun perincian mengenainya sudah dijelaskan pada sidang media kelmarin.

Jelas beliau, jika negeri itu berada dalam Fasa 1 PPN maka tidak ada sekolah yang dibuka di negeri terbabit.

“Dalam maklum balas yang kami lihat secara langsung atau pun melalui media termasuklah media sosial, kita dapati ada yang masih menganggap seolah-olah pada 3 Okt ini semua sekolah di seluruh negara akan dibuka,” katanya dalam video penjelasan operasi sekolah di Facebook malam tadi.

Radzi Jidin.

Mengulas lanjut perkara itu, Radzi berkata, bagi negeri berada di Fasa 2 PPN pula, pembukaan untuk sekolah rendah hanya melibatkan Murid Berkeperluan Khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), sementara untuk sekolah menengah melibatkan pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semester dua yang akan menduduki peperiksaan pada akhir Oktober ini.

“Untuk negeri di bawah Fasa 3 PPN, selain daripada MBK di SKPK dan PPKI, kita akan masukkan (melibatkan) murid prasekolah, pelajar Tingkatan Lima dan juga pelajar STPM lain.

“Manakala untuk negeri di bawah Fasa 4 PPN – dua minggu pertama bermula dari 3 hingga 17 Okt, mereka yang berada di sekolah adalah sama seperti di Fasa 3, sebelum kita perluaskannya kepada murid Tahun Satu, Dua dan Tiga bermula 17 hingga 31 Okt, diikuti murid Tahun Empat, Lima dan Enam (pada akhir Okt),” jelasnya lagi.

Bagi operasi sekolah menengah dalam fasa itu pula, Radzi berkata, sesi pembelajaran akan dimulakan bagi pelajar Tingkatan Lima dan Enam, iaitu dari 3 hingga 17 Okt dan selepas itu disusuli secara berperingkat oleh pelajar Tingkatan Tiga, Empat, Satu dan Dua.

Katanya, kemasukan secara berperingkat dengan kapasiti hanya 50% kelas adalah bagi memastikan murid dan pelajar sekolah dapat terus rapat dengan sekolah serta hadir ke sekolah dalam keadaan yang selamat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.