Kanak-kanak hilang dari kereta ditemui lemas di Sungai Jempol

Kanak-kanak hilang dari kereta ditemui lemas di Sungai Jempol

Saiful Bahari Md Isa berkata, beliau sendiri beberapa kali menyelam di Sungai Jempol dengan harapan masih sempat menyelamatkan anak bongsunya.

Polis berkata, mayat Muhammad Abdullah ditemui tersangkut di ranting kayu dalam Sungai Jempol pada 10.30 pagi tadi oleh penduduk kampung, kira-kira 1.2km dari lokasi dia dipercayai terjatuh. (Gambar Bomba)
MARAN:
“Luruh jantung saya apabila menyedari adik tiada dalam kereta,” kata bapa kepada Muhammad Abdullah, kanak-kanak yang ditemui lemas di Sungai Jempol, Felda Jengka 4, di sini hari ini.

Saiful Bahari Md Isa, 46, berkata beliau bergegas mencari anak bongsunya berumur setahun lapan bulan itu di kawasan berhampiran keretanya, sebelum menuju ke arah sungai tersebut dan mula tidak sedap hati apabila melihat bekas tapak kaki kanak-kanak di situ.

“Saya segera menghubungi rakan untuk meminta tolong mencari adik (Muhammad Abdullah). Saya sendiri beberapa kali menyelam dengan harapan masih sempat menyelamatkan adik. Tidak lama kemudian, ramai yang datang membantu, namun kelibat adik masih tidak dijumpai.

“Saya mengambil masa untuk memaklumkan isteri di rumah kerana dia mengandung tujuh bulan…akhirnya saya hanya mampu mengatakan adik hilang,” katanya yang ditemui Bernama di Unit Forensik Hospital Jengka di sini.

Terdahulu, Muhammad Abdullah yang dilapor hilang selepas keluar dari kereta bapanya yang diparkir berhampiran Sungai Jempol semalam, ditemui lemas pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Maran, Norzamri Abd Rahman berkata, mayat kanak-kanak itu ditemui tersangkut di ranting kayu dalam sungai itu pada 10.30 pagi oleh penduduk kampung, kira-kira 1.2km dari lokasi dia dipercayai terjatuh.

Operasi mencari dan menyelamat Muhammad Abdullah bersambung pagi ini, selepas dihentikan 8 malam semalam ekoran keadaan cuaca semakin gelap.

Mengulas lanjut, Saiful Bahari berkata, beliau selalu membawa Muhammad Abdullah bersama kakak dan abangnya yang berusia enam dan lapan tahun ke ladang kelapa sawit berhampiran sungai berkenaan kerana mahu meringankan tugas isterinya, Noor Azilahwati Saad, 42, di rumah memandangkan tiga kanak-kanak tersebut agak lasak.

Saiful Bahari berkata, beliau juga sedang membina pondok rehat di ladang itu dan kebiasaannya akan meletakkan anak bongsunya di dalam kereta yang diparkir di tepi pondok itu, sama ada kanak-kanak itu tidur atau memerhatikan kakaknya bermain permainan video menerusi telefon pintar bagi memudahkannya memerhati gelagat mereka.

Katanya, beliau bersama anak-anaknya itu tiba di ladang tersebut sekitar tengah hari dan baharu meninggalkan Muhammad Abdullah kira-kira 15 minit sebelum menyedari kehilangan kanak-kanak itu pada 1 tengah hari.

“Terngiang-ngiang keletah adik yang sudah boleh memanggil babah dan mama,” katanya yang pulang ke Felda Jengka 4 bersama keluarganya akhir tahun lepas, selepas pendapatannya sebagai pemandu teksi di Kuala Lumpur terjejas ekoran pandemik Covid-19.

Beliau berkata, jenazah anak bongsu daripada enam beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Jengka 4, selepas selesai bedah siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.