Dokumen lebih jelas konsep ‘Keluarga Malaysia’ dikeluarkan dalam masa terdekat, kata Annuar

Dokumen lebih jelas konsep ‘Keluarga Malaysia’ dikeluarkan dalam masa terdekat, kata Annuar

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, dokumen terbabit akan dikeluarkan dalam masa terdekat bagi memastikan ia lebih teratur penghayatannya dan tidak disalah tafsir.

Annuar Musa berkata, Jabatan Penerangan dan Jabatan Perdana Menteri mungkin mengeluarkan satu dokumen untuk huraian falsafah Keluarga Malaysia minggu depan.
PETALING JAYA:
Kerajaan akan mengeluarkan satu dokumen lebih jelas tentang konsep “Keluarga Malaysia” yang dibawakan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa berkata dokumen itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat bagi memastikan ia lebih teratur penghayatannya dan tidak disalah tafsir.

“Minggu lepas, saya dengan pasukan kementerian dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) duduk rangka supaya ada garis panduan jelas maksud Keluarga Malaysia.

“Jadi, mungkin minggu depan Jabatan Penerangan dan JPM akan keluarkan satu dokumen untuk huraian falsafah Keluarga Malaysia.

“Secara umumnya, pendekatan yang nak dibawa Perdana Menteri agar wujud satu perasaan kekitaan yang positif, bukan sahaja kerajaan dengan rakyat, tetapi antara rakyat dengan rakyat supaya dapat budayakan satu kehidupan lebih harmoni,” katanya menerusi Twitter Spaces bersama Annuar di Bernama.

Mengulas segelintir pihak yang menganggap konsep “Keluarga Malaysia” Ismail lebih kepada retorik politik, Annuar menafikannya.

Katanya, perkara itu bergantung kepada individu, jika diambil dari aspek negatif, ia akan diterima secara negatif dan sebaliknya jika ia diterima sebagai positif.

Mengulas sama ada rakyat Malaysia sedia menerima konsep “Keluarga Malaysia”, Annuar berkata, pihaknya positif konsep itu akan diterima dengan melihat latar belakang penduduk berbilang kaum, budaya, agama dan fahaman.

“Rakyat nak tengok benda baik, nak tengok kerajaan yang baik serta segala aspirasi rakyat dapat ditunaikan, itu yang rakyat nak, sebab rakyat kita tidak suka perkara negatif. Kalau ditanya tentang kesediaan rakyat, saya yakin rakyat itu nak lihat perkara baik, selagi perkara membawa kebaikan kepada kebajikan, kesejahteraan, keharmonian.”

Katanya, konsep “Keluarga Malaysia” juga selaras keterbukaan kerajaan melaksanakan pindaan Undi18, di mana rakyat sudah matang dan bijak berfikir.

“Sekarang ini, tahap kematangan rakyat jauh berbeza, kita dapati rakyat berpengetahuan, umur 18, 19 dan 20 tahun sudah cukup sesuai melibatkan diri dalam kepimpinan. Mungkin suatu hari nanti, ada wakil rakyat berumur 18, 19 dan 20 tahun.”

Beliau berkata, konsep “Keluarga Malaysia” juga perlu ada rukunnya dan berpandukan lima teras Rukun Negara.

Ismail membangkitkan konsep “Keluarga Malaysia” dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri kesembilan dan kini ia diterapkan dalam pentadbiran kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.