Kenapa tiada kemajuan laporan MA63 dihantar ke PBB, tanya Ahli Parlimen

Kenapa tiada kemajuan laporan MA63 dihantar ke PBB, tanya Ahli Parlimen

Azis Jamman berkata, beliau dimaklumkan tiada satu pun laporan dihantar kepada Setiausaha Agung PBB sejak Persekutuan Malaysia dibentuk.

Azis Jamman berkata, beliau dimaklumkan tiada satu pun laporan dihantar kepada Setiausaha Agung PBB sejak Persekutuan Malaysia dibentuk.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen WARISAN menuntut Putrajaya mengesahkan sama ada laporan kemajuan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 dihantar kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) seperti yang dikehendaki badan antarabangsa itu.

Azis Jamman (WARISAN-Sepanggar) berkata, beliau dimaklumkan tiada satu laporan pun diserahkan kepada Setiausaha Agung PBB sejak Persekutuan Malaysia dibentuk kira-kira 58 tahun lalu.

“Saya mahu penjelasan kerajaan sama ada perkara ini benar atau tidak.

“Sekiranya benar, mengapa tidak dibuat dan apakah implikasi undang-undang yang bakal berlaku,” katanya merujuk penyerahan laporan kemajuan berkenaan ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Azis turut mempersoalkan Maximus Ongkili, Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di bawah pentadbiran Perikatan Nasional, berhubung janjinya kerajaan akan menyelesaikan empat perkara masih tertunggak dalam isu MA63.

Isu tertunggak itu adalah pembayaran tunai (royalti minyak), galian dan medan minyak, persoalan mengenai Akta Laut Wilayah 2012 dan hak negeri ke atas pelantar benua.

Ongkili dilantik semula ke jawatan itu di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

“Beliau berjanji akan selesaikan dalam enam bulan sebelumnya. Kini sudah sampai dua tahun dan belum ada perkembangan.

“Apakah ia akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari?” soalnya merujuk sasaran yang ditetapkan Perdana Menteri kepada Kabinetnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.