Pendekatan bijaksana tangani guru enggan divaksin, jangan guna ugutan, kata Zahid

Pendekatan bijaksana tangani guru enggan divaksin, jangan guna ugutan, kata Zahid

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan kerajaan agar menguruskan kes guru enggan divaksin satu persatu.

Ahmad Zahid Hamidi berkata, guru enggan divaksin perlu didekati dan difahami seorang demi seorang bagi mengetahui punca sebenar mereka enggan divaksin.
PETALING JAYA:
Sebarang bentuk ugutan terutama terhadap guru yang enggan divaksin hanya akan menimbulkan kemarahan rakyat kepada parti politik yang menguasai kerajaan hari ini, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) mengugut 2,000 guru yang enggan divaksin Covid-19 untuk memindahkan guru berkenaan ke negeri lain hanya akan menyusahkan kehidupan mereka, selain pendekatan digunakan kurang berhemah dan autokratik.

“Saya berasa kurang selesa dengan tindakan mahu diambil KPM ke atas warga pendidik yang masih belum menerima suntikan vaksin Covid-19. Bagi saya seramai 2,000 guru masih enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 itu perlu dikendalikan dengan cermat dan bijaksana.

“Saya percaya masih ada banyak ruang serta peluang untuk memujuk dan meyakinkan guru terbabit supaya mengambil suntikan vaksin Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, berkata jumlah 2,000 guru yang enggan divaksin tidak terlalu banyak dan mungkin angka terbabit kian berkurangan.

“Sepatutnya mereka ini boleh diuruskan “case by case basis” oleh KPM. Bukan melalui pendekatan pukul sama rata. Seperti pendekatan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam isu 779 guru di Johor menolak suntikan vaksin Covid-19 baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata, guru ini perlu didekati dan difahami seorang demi seorang bagi mengetahui punca sebenar mereka enggan divaksin.

“Jika mereka tersalah faham mengenai risiko vaksin terhadap kesihatan diri, maka dapatkan pakar kesihatan untuk meyakinkan mereka. Andai mereka tersalah faham mengenai aspek hukum hakam, dapatkan bantuan ilmuan agama untuk menyedarkan mereka tentang hal sebenar,” katanya.

Katanya, sekiranya mereka dipengaruhi teori konspirasi sekalipun berkenaan Covid-19 dan vaksinasi, KPM boleh mendapatkan pakar kaunseling yang mampu memperbetulkan persepsi mereka.

“Kita masih ada masa yang mencukupi untuk memujuk serta meyakinkan mereka kerana sesi persekolahan adalah secara berperingkat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.