2 pelajar IPG lemas: KPM teliti pematuhan SOP

2 pelajar IPG lemas: KPM teliti pematuhan SOP

Selain siasatan dalaman KPM, kejadian turut sedang disiasat pihak berkuasa, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek

Fadhlina Sidek
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, KPM sedang urus bantuan terbaik kepada keluarga pelajar yang terlibat, utamakan aspek kebajikan dan kesejahteraan.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan (KPM) telah memulakan siasatan dalaman bagi meneliti pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan, susulan insiden dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis lemas di Pantai Merdeka semalam.

Dalam hantaran Facebook hari ini, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kejadian itu juga sedang disiasat pihak berkuasa.

Dalam pada itu, katanya, KPM sedang menguruskan bantuan terbaik kepada keluarga pelajar yang terlibat dengan memberi keutamaan kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan mereka.

“Mewakili seluruh keluarga KPM, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua pelajar IPG Kampus Perlis, yang mengalami kemalangan sewaktu mengikuti Program Pendidikan Luar Kampus semalam.

“Semoga seluruh keluarga diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya, lapor Bernama.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Muda Hanyan Ramlan berkata, tragedi semasa kegiatan berkayak itu dipercayai berpunca daripada ombak dan arus kuat.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan merujuk kes tersebut kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal, kayak (dinaiki mangsa) terbalik akibat ombak dan arus, sebelum mangsa ditemukan tersangkut pada jaring nelayan tempatan,” katanya menerusi kenyataan media.

Dua pelajar IPG tersebut, Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20, ditemukan lemas pada kira-kira 7.30 malam semalam, selepas dilaporkan hilang semasa melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka.

Menurut Hanyan, kedua-dua mangsa memakai jaket keselamatan ketika menjalankan aktiviti tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.