
Pengarah HTA Dr Shamsul Anuar Kamarudin berkata insiden itu juga dianggap selesai selepas bayi berkenaan diserahkan semula kepada ibu masing-masing dalam keadaan selamat.
Katanya, tindakan pembetulan segera diambil sebaik sahaja perkara tersebut disedari dan pihaknya juga memberikan penerangan serta sokongan yang sewajarnya kepada ahli keluarga yang terlibat
Beliau berkata, hasil semakan awal mendapati tiada sebarang prosedur penyusuan atau rawatan yang menjejaskan keselamatan bayi berlaku sepanjang tempoh kejadian berkenaan.
“HTA memahami kebimbangan dan perhatian orang ramai susulan penyebaran perkara ini di media sosial.
“Sehubungan dengan itu, pihak hospital mengambil tindakan segera mengikut prosedur yang ditetapkan serta memastikan aspek keselamatan dan kebajikan bayi-bayi yang terlibat sentiasa diberi keutamaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi, lapor Bernama.
Semalam, Berita Harian melaporkan seorang bapa muda mendakwa bayi perempuan mereka tertukar dengan seorang bayi lelaki ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada awal April lalu.
Lelaki itu mendakwa kejadian itu berlaku ketika bayinya menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) kerana mengalami masalah jaundis.
Menurutnya, ketika kejadian bayinya diambil jururawat untuk ujian darah dan apabila dipulangkan kembali isterinya mendapati anaknya sudah tertukar dengan bayi lelaki.
Shamsul berkata HTA memandang serius perkara itu dan satu siasatan dalaman sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta menambah baik prosedur kerja sedia ada bagi mengelakkan insiden seumpama berulang.
“Pihak hospital juga akan memperkukuh langkah kawalan dalaman bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap perkhidmatan yang diberi.
“HTA komited untuk memastikan keselamatan pesakit sentiasa menjadi keutamaan dan amat menghargai kerjasama serta kefahaman semua pihak,” katanya.