
Susulan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Mohd Kamarudin Md Din berkata, polis menerima laporan dua kes penipuan berkenaan melibatkan kerugian sebanyak RM30,250.
Berdasarkan siasatan katanya, suspek akan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai majikan dengan menggunakan gambar profil mirip gambar majikan mangsa.
“Mangsa yang percaya kemudiannya akan diarahkan membuat pembelian kad ‘Google Play Gift’ yang boleh dibeli di kedai serbaneka dan menyerahkan maklumat nombor pin kad berkenaan kepada suspek.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati nombor telefon yang digunakan berbeza dengan nombor sebenar milik majikan,” katanya dalam kenyataan.
Kamarudin berkata, dalam usaha mencegah kes sedemikian, orang ramai diminta berwaspada apabila menerima mesej melalui WhatsApp atau panggilan daripada nombor tidak dikenali.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan gambar profil sewenang-wenangnya dan perlu membuat semakan serta pengesahan, terutamanya mesej melibatkan implikasi kewangan.
“Sebarang kemusykilan atau pertanyaan, orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat ‘CCID Response Center’ di talian 03-26101559/1599.”