PKP terlalu lama, dasar mengelirukan beri kesan besar

PKP terlalu lama, dasar mengelirukan beri kesan besar

Ahli ekonomi menjelaskan beberapa faktor yang telah menjejaskan peluang Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi pada 2021.

Lebih memburukkan keadaan, sekatan penuh yang berterusan itu tidak memberi banyak manfaat dalam memerangi Covid-19, menurut ahli ekonomi.
PETALING JAYA:
Pelaksanaan sekatan penuh secara berterusan dalam tempoh separuh tahun pertama, dasar yang mengelirukan dan tindakan kerajaan yang membuat pusingan U, telah menjejaskan peluang Malaysia untuk mencapai pertumbuhan ekonomi pada 2021, kata ahli ekonomi.

“Bukan hanya dasar Covid-19 dan SOP yang mengelirukan dan ia juga gagal disampaikan dengan baik hingga memberi kesan kepada negara dan sektor perniagaan,” kata Carmelo Ferlito daripada Pusat Pendidikan Pasaran (CME) Malaysia.

Lebih memburukkan keadaan katanya, sekatan penuh yang berterusan itu tidak memberi banyak manfaat dalam memerangi Covid-19 apabila kes jangkitan dan kematian terus meningkat.

Beliau mengulas mengenai Bank Dunia yang telah menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun 2021 kepada 3.3% daripada 4.5% sebelum ini.

Ferlito berkata angka 3.3% lebih rendah berbanding sasaran pertumbuhan KDNK global Bank Dunia iaitu 5.6%.

“Pada dasarnya, Bank Dunia melihat pertumbuhan Malaysia berada pada kadar yang perlahan dari segi keseluruhannya.

“Perkara paling penting yang perlu dilakukan pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ialah untuk kekal komited dalam membuka semula ekonomi dan membuat pelaburan terhadap sistem penjagaan kesihatan. Selebihnya, serahkan kepada kuasa ekonomi.”

Katanya, walaupun kerajaan baharu telah memberi isyarat positif susulan pembukaan semula aktiviti ekonomi, namun sesetengah dasar menyebabkan pelabur bersikap waspada.

Ferlito memetik penekanan yang diberikan terhadap agenda kaum seperti ketetapan 51% pemilikan ekuiti Bumiputera kepada syarikat penghantaran fret dan syarat ketat Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Juita Mohamad, felo Indo-Pasifik di Pusat Perth USAsia, berkata semakan turun unjuran itu boleh dikaitkan dengan ketidaktentuan mengenai pengekangan penularan varian Delta.

“Pelaksanaan program vaksinasi yang perlahan juga memberi kesan terhadap sentimen perniagaan dan pengguna, seperti juga dasar mengenai sekatan pergerakan dan kawalan sempadan yang kurang jelas.”

Katanya, walaupun sekatan penuh diperlukan untuk mengekang penularan varian Delta, namun tempoh dan pelaksanaan yang kurang jelas mungkin telah memberi kesan besar terhadap sektor perniagaan dan isi rumah berbanding jangkaan awal.

Juita menggesa kerajaan untuk menjalankan kajian kesan lebih terperinci bagi menyediakan bantuan bersesuaian kepada golongan yang memerlukan.

Katanya, kerajaan mesti memastikan dasar yang jelas dan konsisten.

“Penyampaian yang jelas terhadap dasar ini dan pelaksanaan yang tepat pada masanya perlu berlaku serentak,” katanya sambil menjelaskan ini akan membantu meningkatkan keyakinan terhadap sektor perniagaan dan pengguna.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.