
Beliau berkata, Bersatu adalah parti serpihan Umno dan tidak perlu hipokrit atau “play innocent” dalam soal kerjasama sedangkan rakyat mengetahui hakikat sebenar.
“Jika benar demi sebuah kerjasama yang jujur serta ikhlas, apa kata bubarkan Bersatu dan kembali ke pangkuan Umno.
“Mungkin Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan akar umbi Umno akan berlembut hati untuk menerima mereka semula,” katanya di Facebook.
Naib Presiden Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen hari ini mempelawa Umno berunding supaya tiada pertembungan kerusi yang bakal ditandingi pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka berkata rundingan antara Bersatu, Umno dan PAS penting bagi mengelakkan pertandingan tiga atau empat penjuru ketika berhadapan dengan calon Pakatan Harapan (PH).
“Yang pasti ialah Bersatu tidak akan bertembung dengan PAS kerana kami sudah bersepakat untuk mengelak pertembungan sesama sendiri,” katanya.
Zahid menyenaraikan beberapa faktor Umno enggan bekerjasama dengan Bersatu termasuk “pembohongan Bersatu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).”
Beliau berkata, Bersatu bersekongkol dengan Pakatan Harapan termasuk DAP untuk menjatuhkan Umno dalam PRU14 melalui pelbagai propaganda, fitnah dan penipuan yang dilemparkan ke atas pimpinan Umno.
“Akar umbi Umno yang pernah terpedaya dengan pembohongan PPBM (Bersatu) pada PRU14 menginsafi kesilapan lalu,” kata Zahid.
Beliau menyifatkan Bersatu sebagai parti ditubuhkan oleh mereka yang gagal menguasai Umno untuk “kepentingan diri.”
DUN Melaka dibubarkan hari ini dan PRN akan diadakan selepas Ketua Menteri Sulaiman Md Ali hilang sokongan majoriti ADUN negeri itu, termasuk daripada kalangan Umno.