
Menurut Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia, dianggarkan seramai 1.22 juta pelancong kesihatan menerima rawatan di negara ini dan menyumbang pendapatan sebanyak RM1.7 bilion pada 2019.
Presiden APHM Dr Kuljit Singh meminta supaya pelancong dari negara jiran dibenarkan mendapatkan rawatan di negara ini terutama bagi mereka yang telah lengkap dos vaksin.
“Sebaik kerajaan membuka semula sektor pelancongan kesihatan, pendapatan negara juga dijangka meningkat melalui kemudahan rawatan yang disediakan di hospital swasta.
“Kami berpandangan bahawa rawatan kepada pelancong kesihatan boleh dilakukan dengan selamat di hospital terutamanya ketika bilangan kes Covid-19 kini telah menurun,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Kuljit berkata, hospital swasta juga bersedia untuk membantu melancarkan fasa selanjutnya dalam pemberian suntikan vaksin membabitkan golongan remaja serta individu yang memerlukan dos penggalak.
“Persatuan berharap hospital swasta akan dibenarkan membantu pemberian suntikan vaksin dan dos penggalak untuk individu termasuk petugas kesihatan barisan hadapan memandangkan sektor ekonomi telah dibuka ketika fasa endemik Covid-19,” katanya.