Kereta terbabas, suami isteri rentung

Kereta terbabas, suami isteri rentung

Pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke bahagian kiri pembahagi jalan dan melanggar tiang papan tanda.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kedua-dua mangsa maut terbakar dalam kereta di tempat kejadian.(Gambar Bomba)
ALOR SETAR:
Sepasang suami isteri rentung selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan terbakar di lampu isyarat berhampiran sebuah pusat beli-belah di Mergong awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dalam kejadian kira-kira 3.15 pagi itu, mangsa dikenali Lim Gi Ying, 21, dan isterinya Tan Sun Wen, 19.

“Hasil siasatan mendapati kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu Lim sedang bergerak dari arah lampu isyarat Tesco Mergong ke lampu isyarat Raden.

“Mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke bahagian kiri pembahagi jalan dan melanggar tiang papan tanda. Ia menyebabkan kereta berkenaan terbabas ke kanan laluan utama sebelum terbakar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa maut terbakar dalam kereta di tempat kejadian berikutan ia rosak teruk pada bahagian hadapan.

“Butiran mangsa telah dikenal pasti melalui waris mangsa dan kad pengenalan yang dijumpai di dalam beg seorang daripada mangsa.

“Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.