Radzi perlu perjelas peningkatan mendadak kos naik taraf sekolah daif, kata PH

Radzi perlu perjelas peningkatan mendadak kos naik taraf sekolah daif, kata PH

Kos purata menaik taraf sekolah daif dalam RMK12 meningkat 2.7 kali ganda kepada RM10.8 juta berbanding kos purata menaik taraf dalam RMK11 iaitu RM3.9 juta.

Dalam sidang Dewan Rakyat pagi tadi, Radzi Jidin memaklumkan kos purata menaik taraf sekolah daif dalam RMK12 meningkat 2.7 kali ganda kepada RM10.8 juta. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mendesak Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin menjelaskan secara terperinci berhubung peningkatan mendadak kos menaik taraf dan membangun semula sekolah daif dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Dalam sidang Dewan Rakyat pagi tadi, Radzi memaklumkan kos purata menaik taraf sekolah daif dalam RMK12 meningkat 2.7 kali ganda kepada RM10.8 juta berbanding kos purata menaik taraf dalam RMK11, iaitu RM3.9 juta.

“JKPPH beranggapan bahawa situasi peningkatan kos yang begitu besar dalam proses menaik taraf dan membangun semula sekolah daif di seluruh negara sama sekali mendatangkan kecurigaan dan boleh dipersoalkan.

“JKPPH mahu Menteri Kanan Pendidikan memberikan penjelasan yang terperinci mengenai perihal peningkatan kos yang mendadak ini,” menurut kenyataan.

Jawatankuasa itu juga menggesa Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pendidikan (KPM) mendedahkan 148 bangunan daif yang disenaraikan dan skop kerja berkenaan untuk penelitian awam.

“Ia juga bagi membolehkan orang ramai meneliti secara kendiri sama ada peningkatan kos itu adalah munasabah dan tiada unsur ‘mark up’.

“JKPPH menyeru agar dana awam yang digunakan perlulah dilaksanakan secara telus dan berintegriti bagi mengelakkan pembaziran dan penyelewengan dana awam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.