
Dikendalikan oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), tinjauan dilakukan itu bertujuan mengetahui persepsi rakyat Malaysia mengenai peranan ahli politik dan wakil rakyat.
Hanya 65% daripada 2,540 peserta berkata mereka tahu perbezaan antara Ahli Parlimen (di peringkat Persekutuan) dan ADUN (di dalam sebuah Dewan Undangan Negeri).
Mengenai peranan yang dimainkan wakil rakyat ini, 30% responden berpendapat tugas terpenting seorang Ahli Parlimen adalah membahaskan dan menggubal undang-undang di Dewan Rakyat. Sebanyak 23% pula menjawab Ahli Parlimen memastikan semak dan imbang terhadap keputusan dan dasar kerajaan.
Bagi ADUN pula, 25% responden menjawab bahawa peranan utama mereka adalah memberikan bantuan berupa wang tunai atau barangan asas, diikuti meluluskan undang-undang (22%) serta memastikan semak dan imbang (20%).
“Ahli Parlimen dianggap memiliki peranan yang lebih terhadap pembangunan negara,” kata tinjauan itu.
“ADUN pula dianggap sebagai orang yang lebih dekat dengan masyarakat dan kawasan pilihan raya mereka dalam memberikan bantuan serta pertolongan.”
Tinjauan itu juga mendapati hanya 6% daripada responden berkata mereka akan memilih calon kerana parti politik yang diwakili.
Kira-kira 22% lagi berkata, rekod prestasi dan aksesibiliti calon akan mempengaruhi keputusan mereka, sementara 37% responden memilih calon yang mempunyai dasar jelas yang dapat dilaksanakan untuk kebaikan negara.
Sebanyak 70% responden berkata, mereka menggunakan Facebook sebagai salah satu sumber maklumat mengenai politik dan ahli politik, tetapi hanya 37% yang mengakuinya sebagai sumber utama mereka. Platform media sosial lain, WhatsApp, dinamakan oleh 44% responden sebagai sumber.
Sementara itu, masing-masing 49% dan 43% responden menjadikan organisasi media, TV3 dan Astro Awani sebagai sumber maklumat mereka.