2 beradik mengaku tak salah ugut bunuh, cederakan bekas majikan

2 beradik mengaku tak salah ugut bunuh, cederakan bekas majikan

S Gunasilan, 35, dan kakaknya S Eswari, 42, berdepan pertuduhan ugutan dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang wanita minggu lalu.

S Gunasilan dan S Eswari dihadapkan ke mahkamah secara berasingan hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh secara berasingan hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan dan mencederakan seorang wanita minggu lalu.

Sinar Harian melaporkan S Gunasilan, 35, dan kakaknya, S Eswari, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab dan Khir Nizam Jemari.

Mengikut pertuduhan, Gunasilan didakwa menakutkan K Shanmuga Priya, 38, dengan mengugut untuk membunuhnya di sebuah restoran di Jalan Raja Perempuan Mazwin di Ipoh pada 3.10 petang 5 Okt lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Nur Melati Diana kemudiannya membenarkan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin serta dilarang mendekati mangsa.

Mahkamah menetapkan 29 Nov ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Di mahkamah berasingan, Eswari didakwa dengan sengaja mencederakan Shanmuga Priya, yang juga bekas majikannya, di lokasi, masa dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Khir Nizam membenarkan ikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula 21 Nov ini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syahirah Azahar dan Amalina Harun, manakala Gunasilan diwakili Mohd Khazali Yin serta Eswari diwakili Mahinderjit Singh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.