DBKL akan pasang 5,000 CCTV di sekitar ibu negara

DBKL akan pasang 5,000 CCTV di sekitar ibu negara

Menteri Wilayah Persekutuan berkata, 3,000 CCTV yang mempunyai fungsi AI telah dipasang bagi sistem trafik pintar, pemantauan jenayah, komuniti dan aset DBKL.

Sebanyak 2,000 kamera litar tertutup akan dipasang menjelang akhir tahun ini untuk kegunaan polis bagi pemantauan jenayah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperluas dan menambah baik pengurusan pengangkutan bersepadu di sekitar ibu negara menerusi pemasangan 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) dengan ciri kecerdasan buatan (AI).

Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim berkata 3,000 CCTV yang mempunyai fungsi AI telah dipasang bagi pengurusan sistem trafik pintar, pemantauan jenayah, komuniti dan aset DBKL.

Beliau berkata, baki 2,000 CCTV akan dipasang menjelang akhir tahun ini untuk kegunaan polis bagi pemantauan jenayah.

“Sistem AI yang diguna pakai boleh mengesan kejadian dan situasi masa nyata seperti jalan berlubang, tumpahan simen dari lori serta penjaja haram di jalanan.

“Melalui notifikasi peristiwa tersebut, ia amat membantu DBKL dalam melaksanakan kerja pemantauan, pencegahan, penguatkuasaan dan juga penyelenggaraan serta terbukti dapat mengurangkan penggunaan bajet penyelenggaraan pencegahan oleh DBKL,” katanya dalam ucapan perasmian penjenamaan semula Pusat Pengurusan Pengangkutan (ITIS) kepada nama baharu Kuala Lumpur Command and Control Centre (KLCCC) di sini.

Shahidan berkata, sistem terbaharu itu dilengkapi kebolehan mengumpul, memproses dan memberi maklum balas mengenai data dikumpul dari sekitar ibu kota yang mampu membantu DBKL menggunakan data secara cekap dan efektif untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pelbagai sistem tunggal yang sedang digunakan DBKL seperti sistem pelesenan, penguat kuasa dan pengangkutan seperti sistem lampu isyarat serta Go KL City Bus akan diintegrasikan kepada sistem bandar pintar tersebut.

Katanya, pemasangan CCTV dan sistem berintegrasi itu juga mampu membantu pemantauan dan pencegahan aktiviti vandalisme serta menambah baik sistem penyelenggaraan dan perlindungan aset.

“Selain itu, usaha DBKL juga melibatkan pemasangan 140 unit VMS (Sistem Pemantauan Kenderaan) jenis warna penuh, 42 butang panik di taman awam serta 78 unit pembesar suara yang akan siap sepenuhnya penghujung tahun ini.”

Beliau berkata, pemantauan kerosakan jalan, meneliti garisan jalan yang pudar, kerosakan lampu jalan dan lampu isyarat, pokok tumbang serta pengesanan kesalahan trafik menyebabkan kesesakan juga boleh dilakukan menerusi sistem tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.