
Insiden paip pecah berhampiran Simpang 3 LBJ, Jalan B48, Kampung Chinchang, Salak Tinggi, Sepang, 18 Oktober lalu menyebabkan 145 kawasan di Sepang dan 11 kawasan di Kuala Langat terjejas.
Keadaan ini menyebabkan penduduk mengalami gangguan air bermula jam 9 malam Isnin lalu.
Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Elina Baseri dalam satu kenyataan berkata, bekalan air pulih sepenuhnya pada jam 7 pagi.
“Bekalan air disalurkan secara berperingkat bermula jam 2.30 petang semalam susulan kerja-kerja membaiki pulih paip berkenaan.
“Pada masa sama, Air Selangor juga menyediakan tangki air yang digerakkan ke kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada perkhidmatan kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian,” katanya.
Gangguan itu berlaku beberapa hari selepas kawasan utama di Lembah Klang mengalami insiden sama berikutan insiden paip pecah susulan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor.