
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata, banyak kontrak pembantu rumah tamat dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan majikan tidak dapat mencari pengganti kerana sempadan ditutup dan bayaran menjadi semakin mahal.
Ini menjejaskan agensi yang menawarkan perkhidmatan pembantu rumah kerana mereka tidak dapat mengekalkan operasi semasa wabak, kata bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu.
Memetik data Pertubuhan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Swasta Malaysia, Yeoh berkata, kira-kira 20,000 isi rumah sedang menunggu sempadan dibuka semula dan pembantu rumah baharu dibenarkan memasuki Malaysia.
“Saya menggesa kerajaan persekutuan membantu para majikan dengan membuka semula sektor ini segera dan membenarkan pembantu rumah yang baharu memasuki Malaysia dengan selamat, tertakluk kepada status vaksinasi mereka, ujian saringan dan arahan kuarantin,” katanya.
Beliau juga menggesa kerajaan menyelesaikan sebarang isu memorandum persefahaman (MoU) yang tertunggak dengan negara terbabit dan menyediakan sistem permohonan lebih pantas untuk mengurangkan masa menunggu bagi mendapatkan pembantu rumah baharu.
“Pendekatan menang-menang ini akan membantu kutipan levi/pendapatan kerajaan dan dapat membanteras aktiviti haram atau pemerdagangan pembantu rumah.
“Kita mesti melakukan sebaik mungkin untuk mengekalkan jumlah penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan yang sedia rendah selama ini dan jangan pula semakin berkurangan akibat kekurangan sistem sokongan di rumah,” katanya.