MOTAC sokong pencalonan Masjid Kampung Laut dalam senarai UNESCO

MOTAC sokong pencalonan Masjid Kampung Laut dalam senarai UNESCO

Masjid Kampung Laut yang berusia 300 tahun, dirancang dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia dunia kerana keunikan dan contoh seni bina luar biasa.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri, berkata Masjid Kampung Laut memenuhi kriteria pencalonan iaitu lokasi tradisi budaya unik dan contoh seni bina luar biasa. (Gambar Bernama)
TUMPAT:
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyokong penuh perancangan untuk mencalonkan Masjid Kampung Laut yang berusia 300 tahun, sebagai Tapak Warisan Dunia dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menterinya, Nancy Shukri berkata, kementerian juga menyambut baik hasrat mencalonkan Laman Warisan Serunding Kampung Laut sebagai Tapak Warisan Kebangsaan.

“Kedua-dua projek ini berpotensi besar untuk diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah UNESCO kerana ia memenuhi kriteria pencalonan iaitu lokasi tradisi budaya yang unik dan juga contoh seni bina luar biasa.

“Negeri Kelantan kaya dengan budaya dan warisan yang unik dan perlu dipulihara serta diketengahkan ke persada antarabangsa,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penyerahan Laman Warisan Serunding Kampung Laut daripada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) kepada MOTAC, di sini.

Majlis penyerahan kunci telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Baidzawi Che Mat kepada Ketua Setiausaha MOTAC Noor Zari Hamat. Turut hadir Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Tumpat Che Abdullah Mat Nawi.

Mengulas lanjut, Nancy berkata pembangunan semula Kampung Laut dan pulangnya Masjid Kampung Laut ke tapak asalnya adalah bertepatan dengan pendekatan baharu MOTAC apabila seni dan budaya diberi keutamaan sebagai elemen utama produk pelancongan dalam usaha mempromosi Malaysia.

“Ia selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 yang baru sahaja kita lancarkan pada 26 Okt lepas.

“DAKEN 2021 menggariskan wawasan menjadikan Malaysia ‘Negara Maju Rakyat Berbudaya’. Dasar ini akan menjadi inspirasi dan iltizam kepada MOTAC untuk memastikan kelestarian seni, budaya dan warisan dapat diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya,” katanya.

Laman Warisan Serunding Kampung Laut menyediakan ruang niaga untuk sembilan usahawan tempatan Kampung Laut yang menjual makanan istimewa tempatan seperti serunding, dodol dan gelembung buaya.

Pakej 2 Projek Pembangunan Semula Kampung Laut Laut dijangka siap awal tahun depan, terdiri daripada Laman Warisan Seni Kampung Laut dan pemindahan semula Masjid Kampung Laut berusia 300 tahun, masjid tersebut sebelum ini ia terletak di kampung tersebut namun dipindahkan ke Nilam Puri, Kota Bharu selepas tapak asalnya ditenggelami air akibat banjir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.